Date: Selasa, Ogos 23, 2022

Majlis Penyerahan Projek Siap bagi Cadangan Penggantian Pontoon dan Kerja Berkaitan di Jeti Teluk Bujur, Pulau Tuba, Langkawi, Kedah telah berlangsung dengan jayanya pada 21 Ogos 2022 (Ahad) bertempat di Jeti Teluk Bujur, Pulau Tuba, Langkawi, Kedah.

 

Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Nasaruddin bin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan YBrs. Ir. Mohd Fisal bin Ismail, Pengarah JKR Negeri Kedah. Majlis bertambah berseri dengan kehadiran YBrs. Tuan Wan Kamarul Faisal bin Wan Kamardin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sektor Perancangan dan Pembangunan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), YBrs. Ir. Ts. Khairul Azlan bin Abdullah, Jurutera Daerah JKR Langkawi, YBrs. En Mohammad Syamil bin Shahidan, Penolong Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU)  Pejabat Pembangunan Negeri Kedah dan YBrs. En Ahmad Nahri bin Azajawfi , Pengarah Urusan Hati Nurani Sdn. Bhd. selaku Kontraktor Utama.

 

Pelaksanaan projek ini adalah secara Konvensional Dalaman di mana Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan telah dilantik selaku Pengurus Program. Reka bentuk bangunan telah dilaksanakan oleh tenaga-tenaga pakar JKR sendiri yang terdiri dari pasukan HODT Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan dan Cawangan Kejuruteraan Geoteknik. Pembinaan projek ini telah dipertanggungjawabkan kepada Jurutera Daerah Langkawi selaku Pegawai Penguasa dan Jurutera Bangunan JKR Langkawi pula selaku Wakil Pegawai Penguasa. Perolehan projek telah dilaksanakan secara tender terbuka dan syarikat Hati Nurani Sdn. Bhd. telah dilantik sebagai Kontraktor Utama dengan kos projek sebanyak RM5,680,515.00. Projek telah bermula pada 1 Februari 2021 dan siap sepenuhnya pada 21 Ogos 2022. Atas komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak, projek ini telah berjaya disiapkan lebih awal daripada tarikh siap semasa, iaitu sebanyak 221 hari bersamaan 7 bulan. Dengan siapnya projek ini, ianya dapat memberi kemudahan dan keselesaan serta meningkatkan tahap keselamatan kepada semua penduduk mahupun pelancong.

 

Dalam usaha pihak JKR memberikan produk akhir kepada pelanggan, penambahbaikan dalam pengurusan projek sentiasa diberi penekanan dan perhatian yang khusus. JKR sentiasa berusaha dalam memenuhi keberkesanan pengurusan projek dengan menambahbaik pencapaian agar projek yang dilaksanakan JKR dapat disiapkan memenuhi kriteria 3 dalam 1. Projek ini berjaya disiapkan dan diserahkan secara 9 dalam 1 iaitu:

 

  1. Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) telah diperakukan pada 21 Ogos 2022;
  2. Penyiapan Penyata Akaun Muktamad (SOFA);
  3. Penyiapan As Built Drawing;
  4. Operation & Maintenance (O&M) Manual;
  5. Projek berjaya disiapkan lebih awal tarikh Siap Semasa (221 hari bersamaan 7 bulan awal);
  6. Serahan kepada pelanggan pada Tarikh CPC
  7. Zero Lost Time Injuries (LTI);
  8. Zero Major Defects; dan
  9.  Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

 

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada JKR Daerah Langkawi selaku Pegawai Penguasa dengan kerjasama dan ‎sokongan yang sangat baik daripada Pasukan HOPT iaitu Bahagian Maritim, Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan, komitmen yang baik dari Hati Nurani Sdn. Bhd. dan juga daripada ‎pihak pelanggan iaitu Lembaga ‎Pembangunan Langkawi (LADA) serta semua pihak ‎yang terlibat dalam memastikan projek dapat disiapkan dengan jayanya.‎