Date: Khamis, November 21, 2019

Majlis Penyerahan Projek Kerja-Kerja Membekal, Memasang, Menguji Dan Mengujiterima Sistem Vehicle Testing Lane (VTL) Di Jabatan Kerja Raya Cawangan Kejuruteraan Mekanikal Negeri Perak Dan Peralatan Woksyop Serta Kerja-Kerja Berkaitan Di Jabatan Kerja Raya Cawangan Kejuruteraan Mekanikal Negeri Perak, Terengganu Dan Pulau Pinang telah berlangsung dengan jayanya pada 19 November 2019, Selasa, bertempat di JKR Cawangan Kejuruteraan Mekanikal Negeri Perak.

Sesi menandatangani Perakuan Serahan Kerja Siap Kepada Pelanggan di antara Ketua Jurutera Mekanikal, Encik Norhisham bin Launah yang juga merupakan Pegawai Penguasa Projek dan Ketua Jurutera Mekanikal Negeri Perak, Ir. Mohd Azmi bin Asif telah disaksikan oleh Pengarah Kanan Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, YBrs. Ir. Razdwan bin Kasim, Pengarah Khidmat Pakar Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, YBrs. Ir. Zulkifli bin Abdul Rashad dan Timbalan Pengarah JKR Negeri Perak, YBrs. Tuan Haji Mohamad Salehhuddin bin Othman. Majlis tersebut turut dihadiri oleh pasukan Head of Project Team (HOPT), Head of Design Team (HODT), Wakil Pegawai Penguasa, kontraktor utama Rinahashim Enterprise dan wakil pembekal.

Projek ini telah berjaya diserah kepada pihak pelanggan secara ‘3 dalam 1’ iaitu lengkap dengan dokumen berikut:

  1. Perakuan Siap Kerja (CPC)
  2. Penyata Akaun Muktamad (SOFA)
  3. Manual Operasi & Senggaraan (O&M) & Lukisan Siap Bina (As-Built Drawings)

Skop pembinaan bagi projek ini adalah termasuk,

  1. Kerja-Kerja Membekal, Memasang, Menguji Dan Mengujiterima Sistem Vehicle Testing Lane (VTL) Di Jabatan Kerja Raya Cawangan Kejuruteraan Mekanikal Negeri Perak.
  2. Kerja-Kerja Membekal, Memasang, Menguji Dan Mengujiterima Peralatan Woksyop Serta Kerja-Kerja Berkaitan Di Jabatan Kerja Raya Cawangan Kejuruteraan Mekanikal Negeri Perak, Terengganu dan Pulau Pinang.

Sistem VTL keluaran syarikat Mustang ini merupakan satu sistem pemeriksaan prestasi kenderaan secara berkomputer yang merangkumi enam modul utama iaitu Emission Analyzer Test bagi Kenderaan Berenjin Petrol atau Smoke Meter Test bagi Kenderaan Berenjin Diesel, Headlight Test, Side Slip Test, Brake Test, Suspension Test, Speedometer Test dan Undercarriage Test. Pemeriksaan ini perlu dilakukan sejajar dengan Pekeliling Perbendaharaan 4.1 Pengurusan Kenderaan Kerajaan di mana semua kenderaan kerajaan selain Kereta Konsesi hendaklah menjalani pemeriksaan tahunan di Woksyop Kerajaan untuk menilai tahap keselamatan dan prestasi kenderaan.

Di akhir majlis penyerahan, satu demonstrasi pemeriksaan kenderaan menggunakan sistem VTL telah dijalankan oleh pihak pembekal.

Setinggi-tinggi penghargaan dan syabas sekali lagi kepada semua pihak yang terlibat dalam memberikan kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam melaksanakan projek ini.