Date: Rabu, November 27, 2019

Majlis Penyerahan Projek Kompleks Penyiaran Negeri Perlis telah berlangsung dengan jayanya pada 25 November 2019 (Isnin) bertempat di Bangunan Kompleks Penyiaran Negeri Perlis, Mukim Sena, Perlis.

Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBrs. Ar. Zairul Azidin bin Badri, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan). Majlis bertambah berseri dengan kehadiran YBhg. Dato’ Suriani binti Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (KKMM) bagi sesi menandatangani sijil penyerahan projek di antara Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Majlis tersebut turut dihadiri oleh pasukan-pasukan dari Head of Project Team (HOPT), Head of Design Team (HODT) serta tidak terkecuali dari pihak JKR Negeri perlis. Turut hadir memeriahkan majlis adalah pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Jabatan Penyiaran Malaysia, Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Perlis dan juga kontraktor utama.

Projek Kompleks Penyiaran Negeri Perlis ini dilaksanakan oleh Kontraktor utama dari Syarikat Pedati Teguh Sdn. Bhd. Projek ini mula dibina pada 4 Januari 2017 dan telah disiapkan pada 01 November 2019 dengan kos projek  sebanyak RM18,000,000.00.

Pelaksanaan pembinaan projek ini adalah menggunakan kaedah Industrialised Building System (IBS) dan rekabentuk bangunan ini adalah secara Konvensional Dalaman, iaitu dengan menggunakan kepakaran Arkitek dan Jurutera JKR sendiri. Konsep rekabentuk adalah berteraskan unsur-unsur identiti RTM seperti pemasangan fasad violin di bahagian hadapan bangunan serta rekabentuk bumbung jenis monocoque.

Kompleks Penyiaran Negeri Perlis ini dibina dengan beberapa komponen utama iaitu:-

  1. Bangunan 1 tingkat yang menempatkan Konti dan Studio Penyiaran di sebelah kanan dan Bahagian Pentadbiran di sebelah kiri;
  2. Kemudahan Sokongan seperti :
  1.         Pondok Pengawal;
  2.         Pencawang Elektrik;
  3.         Blok Mekanikal; dan
  4.         Rumah Sampah.

Projek ini turut disiapkan dengan jayanya secara 3 dalam 1 iaitu:

i.        Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) yang telah diperakukan pada 1 November 2019;
ii.       Penyiapan Penyata Akaun Muktamad (SOFA); dan
iii.      Penyiapan As Built Drawing dan Operation & Maintenance Manual

Matlamat utama pembinaan kompleks ini adalah untuk menyediakan ruang dan kemudahan kepada pengunjung untuk berinteraksi dengan warga Jabatan apabila aktiviti berkaitan agensi diadakan. Selain itu, dengan keluasan bangunan 2,169 meter persegi atau 23,400 kaki persegi ini pastinya dapat memberi persekitaran kerja yang lebih kondusif dan selesa kepada kakitangan mahu pun pengunjung yang datang. Pemodenan peralatan RTM turut dilengkapi di dalam kompleks ini, sejajar dengan perubahan teknologi penyiaran semasa.

Semasa berlangsungnya majlis tersebut, YBhg. Dato’ KSU turut bersetuju dengan cadangan JKR bahawa konsep rekabentuk bangunan Penyiaran Negeri Perlis ini digunakan untuk projek-projek baru bangunan penyiaran yang akan datang seperti Projek Penyiaran Langkawi yang baharu sahaja diluluskan pelaksanaannya.

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Cawangan Kerja Bangunan Am 1, HODT, JKR Negeri Perlis, pihak kontraktor utama iaitu Syarikat Pedati Teguh Sdn. Bhd. dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan projek dapat disiapkan dengan jayanya.

Berita oleh :
Bahagian Pengurusan Projek 5
Cawangan Kerja Bangunan Am 1