Date: Isnin, September 21, 2020

Majlis Penyerahan Projek Membina Jambatan Menghubungkan Kg. Lambor Kiri ke Kg. Lambor Kanan (merentasi Sg. Perak) Daerah Perak Tengah telah berlangsung dengan jayanya pada 17 September 2020 (Khamis) bertempat di lokasi tapak pembinaan di Mukim Lambor, Daerah Perak Tengah.

Penyerahan projek ini disempurnakan oleh YBrs. Ir. Roslan bin Abd Ghani, Pengarah JKR Negeri Perak kepada YBhg. Dato' Dr. Syed Omar Sharifuddin bin Syed Ikhsan, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, selaku wakil pihak pelanggan.

Majlis penyerahan ini turut dihadiri oleh YB Khairul Shahril bin Mohamed, Adun Bota, Puan Rozalinawati, Pegawai Daerah Perak Tengah. Pegawai-pegawai dari ibu pejabat JKR Malaysia, JKR Negeri Perak, JKR Daerah Negeri Perak serta pasukan kontraktor.

Dengan adanya jambatan baru ini ia dapat mengurangkan kesesakan lalulintas di Pekan Kg. Gajah dan Pekan Bota Kanan-Jalan Persekutuan Ipoh-Lumut (FT005).

Projek ini merangkumi;

  1. Membina jambatan sepanjang 410.6m lebar 11.5m (2 lorong 2 hala)
  2. Membina jalan tuju sepanjang 350m
  3. Membina 2 buah persimpangan disebelah Lambor kiri dan Lambor Kanan (500m)
  4. Pemasangan perabot jalan dan lampu jalan
  5. Pengalihan utiliti

Projek ini telah dilaksanakan oleh kontraktor utama dari Everfine Resources Sdn. Bhd. Projek ini mula dibina pada 5 Mac 2018 dan telah disiapkan pada 7 September 2020.

Projek ini turut disiapkan dengan jayanya secara 3 dalam 1;

  1. Sijil perakuan siap kerja (CPC)
  2. Penyerahan lukisan siap bina (As Built Drawing)
  3. Penyata akaun muktamad (Sofa)

Setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Kementerian Kerja Raya, Cawangan Jalan, HOPT, HODT, Jabatan Kerja Raya Negeri Perak, pihak kontraktor serta semua pihak yang terlibat dalam memberikan kerjasama dan komitmen yang padu dalam melaksanakan projek ini.