Date: Rabu, Julai 19, 2017

Majlis Penyerahan Projek Naiktaraf Dan Baikpulih Bangunan Parlimen Malaysia (Fasa 3A) telah berlangsung dengan jayanya di Marquee Tent, perkarangan Dewan Sementara Parlimen Malaysia pada 18 Julai 2017 (Selasa) jam 11 pagi.

Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan) YBrs. En. Kamaluddin bin Hj. Abd Rashid kepada wakil Parlimen Malaysia, YBhg. Datuk Awang Alik bin Jeman. Dalam ucapan penerimaannya, wakil pelanggan telah berkongsi pandangan bernas agar pelaksanaan fasa-fasa lain Projek Parlimen ini dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan jitu serta menekankan kepentingan kerjasama dan komunikasi dua hala dalam kejayaan projek.

Majlis penyerahan ini turut dihadiri oleh Setiausaha Dewan Rakyat, YBhg. Datuk Roosme binti Hamzah, Setiausaha Dewan Negara Y.Brs Encik Riduan bin Rahmat, SUB Bahagian Pentadbiran Parlimen Malaysia, YBhg. Datuk Zamani bin Hj Sulaiman serta Pengarah Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat, Ir. Mohamad Zulkefly bin Sulaiman. Turut hadir adalah pegawai-pegawai dari Parlimen Malaysia, pasukan HOPT dan HODT JKR, Pasukan Projek JKR Tapak, kakitangan syarikat kontraktor SPA Integrated Sdn Bhd serta semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam pelaksanaan projek ini.

Kompleks Parlimen Malaysia yang sedia ada telah berusia lebih 50 tahun dan kemudahan yang dibina pada tahun 1963 sudah sampai masanya untuk diberikan nafas baru bagi menempuh cabaran dan keperluan Institusi Parlimen pada masa akan datang. Fasa 3A projek ini adalah antara beberapa fasa projek yang telah dilaksanakan JKR bertujuan untuk memastikan infrastruktur kompleks Parlimen Malaysia adalah “up to date” dari segi integriti teknikal dan keselamatan bangunan, serta mewujudkan sistem sokongan mekanikal dan elektrikal yang lebih efisyen yang seiring dengan kemajuan teknikal mutakhir.

Projek ini telah dilaksanakan di atas tapak seluas 6.71 ekar secara konvensional dalaman dengan kos sebanyak hampir RM22.6 Juta. Kontraktor utama, syarikat SPA Integrated Sdn Bhd telah dilantik melalui perolehan secara tender terbuka. Pembinaan telah dimulakan pada 3 November 2014 dan telah disiapkan pada tarikh siap asal adalah pada 2 November 2016 tanpa sebarang lanjutan masa.

Antara kemudahan yang disediakan dalam Fasa 3A adalah:

i) blok mekanikal dan blok elektrikal yang menempatkan peralatan M&E yang terkini kemudahan yang menggantikan blok annex yang lama

ii) pejabat nurseri yang lengkap dan selesa,

iii) stor-stor peralatan yang lebih tersusun;

iv) pondok pengawal dan rumah sampah di lokasi yang lebih strategik, serta;

v) sebuah terowong bawah tanah sepanjang hampir 100m yang mengintegrasikan kesemua infrastruktur sebagai sokongan kepada blok-blok utama yang lain di kompleks Parlimen ini.

Pasukan Projek JKR telah bekerja keras untuk memastikan projek ini diuruskan dengan baik memandangkan ianya satu projek high-profile yang mendapat perhatian dari pelbagai pihak termasuk ahli parlimen dan rakyat umumnya. Jabatan Kerja Raya berbangga kerana masih diberikan kepercayaan menjadi agensi pelaksana untuk menyediakan infrastruktur bagi sebuah bangunan ikonik negara.