Date: Isnin, March 22, 2021

Majlis Penyerahan PROJEK NAIKTARAF PROJEK JALAN KAMPUNG PAYA REDAN, MELAKA TENGAH, MELAKA telah diadakan pada 16 & 17 Mac 2021.

 

Majlis menandatangani dokumen penyerahan projek tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah Kerja Raya Melaka, Y.Bhg Datuk Ir. Ismail Bin Abd Rahman dan Y.Bhg Dato’ Dr Ahmad Jailani Bin Muhamed Yunus, KSU Kementerian Pembangunan Luar Bandar pada 16 Mac 2021 manakala penyerahan di tapak pula telah disempurnakan pada 17 Mac 2021. Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran pegawai-pegawai JKR Melaka, pasukan projek JKR Daerah Melaka Tengah, pasukan kontraktor serta para jemputan.

Projek naiktaraf jalan kampung ini telah direkabentuk mengikut standard R3  menghubungkan Lebuh AMJ dengan Jalan Tiang Dua-Ayer Molek (M4). Ia direkabentuk secara dalaman oleh Cawangan Jalan JKR Malaysia. Pegawai Penguasa bagi projek ini adalah Pengarah Kerja Raya JKR Melaka dan dilaksanakan di bawah pemantauan JKR Daerah Melaka Tengah selaku Wakil Pegawai Penguasa. Projek naik taraf jalan sepanjang 3.1kM ini secara keseluruhannya melibatkan persimpangan 6 buah kampong serta sebuah jambatan sepanjang 39m. Projek ini dijangka akan memberi manfaat secara khusus kepada 3 buah kampong iaitu Kg. Paya Redan, Kg. Bukit Nibong dan Kg Mawar serta institusi-institusi seperti Akademi JPJ, Kolej Profesional Mara dan Pusat Serenti Tiang Dua. Dengan siapnya projek naiktaraf ini jarak perjalanan para pengguna telah dipendekkan daripada  20kM kepada 3.1kM sahaja. Secara langsung pergerakan penduduk kampong serta pergerakan penduduk setempat akan menjadi lebih mudah dan cepat malah secara tidak langsung diharap akan dapat meningkatkan kegiatan ekonomi.

Projek yang melibatkan pengambilan balik tanah sebanyak 40 lot dengan kos sebanyak RM11 juta  telah bermula pada 22 Mac 2018 dan telah berjaya disiapkan pada 24 Februari 2021 iaitu siap lebih awal dari tarikh siap semasa projek. Kos kontrak asal projek ini adalah RM22,260,000.00 tetapi telah disiapkan dengan kos kontrak sebenar berjumlah RM21,113,473.12 dengan penjimatan sebanyak RM1,146,526.88.

Tahniah kepada pasukan projek dan kontraktor utama bagi projek ini iaitu Syntex Valley Sdn. Bhd. kerana telah berjaya menyiapkan projek dengan pencapaian seperti berikut:

 

1.    Sijil perakuan Siap Kerja - CPC

2.    Lukisan Siap Bina - As Built Drawing

3.    Penyata Akaun Muktamad - SOFA

4.    Penjimatan kos berbanding kos asal kontrak - RM1,146,526.88

5.    Siap awal dari tarikh siap semasa – 5 hari awal

6.    Zero Major Defect

7.    Pematuhan SOP Covid-19

8.    Pematuhan sepenuhnya SPKKP - zero NCP

9.    Pematuhan sepenuhnya Kualiti Alam Sekitar - zero NCP

10. Zero Lost Time Injuries (LTI) - sifar kemalangan

11. Program CSR - turapan jalan di Masjid Kg Paya Redan &Tahfiz di Kg Paya Redan

12. Penyediaan Coffee Table Booklet

13. Permohonan awal Pendaftaran Jalan Negeri