Date: Rabu, Januari 11, 2017

Majlis Penyerahan Projek Naiktaraf Sistem Keselamatan Di Kementerian Kewangan Malaysia, Wilayah Persekutuan Putrajaya telah berlangsung dengan jayanya pada hari ini, 11 Januari 2017 (Rabu),jam 9.00 pagi bertempat di Ruang Galeri, Aras Bawah, Kementerian Kewangan, Perbendaharaan Malaysia.
 
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia. Majlis diteruskan dengan ucapan oleh pihak pelanggan yang telah disampaikan oleh YBhg. Datuk Seri Hasmuddin bin Mohammad, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan), Kementerian Kewangan Malaysia. Majlis seterusnya dengan Upacara Menandatangani Sijil Serahan Projek kepada pihak pelanggan diantara JKR dan Kementerian Kewangan Malaysia. Jabatan Kerja Raya telah diwakili oleh YBrs.Ir Hj. Mohamad Azman bin Hj Ahmad, Pengarah Kanan, Cawangan Kejuruteraan Elektrik, JKR Malaysia dan wakil pelanggan, YBhg. Dato' Shamsul Azri bin Abu Bakar, Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Dasar Saraan dan Pengurusan, Kementerian Kewangan Malaysia. Ia turut disaksikan oleh YBhg. Dato Sri KPKR dan juga Datuk Seri, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendahraan, Kementerian Kewangan Malaysia.

Projek naiktaraf sistem keselamatan ini telah dilaksanakan di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia yang merangkumi Blok Tengah (12 tingkat), Blok Utara (8 tingkat) dan Blok Selatan (8 tingkat).Pelaksanaan projek ini boleh dianggap sebagai fast track dengan keunikannya yang tersendiri. Pihak MOF selaku pelanggan telah memohon agar projek ini dilaksanakan oleh JKR pada 26 Januari 2016 dan pada 5 Februari 2016, JKR telah bersetuju bagi perkara ini. Siling peruntukan yang telah diluluskan oleh pihak pelanggan ialah RM 15 juta.

Syarikat yang telah dilantik untuk melaksanakan projek ini ialah Strength Electrical (M) Sdn. Bhd. Bermula dengan milik-tapak pada 13 Jun 2016, projek ini telah berjaya disiapkan pada 7 Dis 2016 dengan kos muktamad RM 9.74 juta iaitu; RM 5.26 juta lebih rendah daripada peruntukan diluluskan. Skop pembinaan projek ini melibatkan penggantian secara menyeluruh sistem CCTV dan kad akses sediada, di samping menyediakan infrastruktur rangkaian yang baru. Penggantian sistem adalah end to end di mana perkakasan sediada kamera dan akses pintu ditukar, pendawaian baru dilakukan dan sistem di dalam Bilik Kawalan dipertingkatkan. Dengan siapnya projek ini sistem keselamatan di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia telah dapat ditingkatkan lagi, sesuai dengan peranannya sebagai pusat pengurusan kewangan Kerajaan Malaysia.

Untuk projek ini CKE telah bertindak sebagai Head of Project Team (HOPT), Head of Design Team (HODT) dan juga pasukan penyeliaan pembinaan.
Projek ini telah disiapkan lengkap dengan 3 dalam 1 iaitu, Perakuan Siap Kerja (CPC), Perakuan Akaun Akhir (SOFA) dan Lukisan Siap Bina (As-Built Drawing).

Setinggi-tinggi perhargaan dan tahniah diucapkan kepada pasukan projek serta semua yang terlibat dalam menjayakan projek ini.Seterusnya Majlis bersurai pada jam 11.00 pagi.