Date: Selasa, Disember 22, 2020

Majlis Penyerahan Projek Pembaikan Cerun Dan Kerja-kerja Berkaitan DI Kolej Vokasional Sultan Haji Ahmad Shah (SHAS) Kuala Lipis, Pahang telah berlangsung dengan jayanya pada 16 Disember 2020 (Rabu) bertempat di Kolej Vokasional Sultan Haji Ahmad Shah (SHAS) Kuala Lipis, Pahang. Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh Ybrs Encik Amiruddin bin Abd Rahim, ans., amp. Jurutera Daerah JKR Lipis selaku Pegawai Penguasa projek ini kepada YBrs. Encik Osman bin Muhamad, Pengarah Kolej Vokasional Sultan Haji Ahmad Shah (SHAS) Kuala Lipis, Pahang  Majlis ini turut dihadiri oleh pegawai dari Bahagian Forensik Tanah Runtuh, Cawangan Kejuruteraan Cerun, pihak Kolej Vokasional Sultan Haji Ahmad Shah (SHAS) Kuala Lipis dan pegawai JKR Lipis serta pihak kontraktor.

Projek Pembaikan Cerun Dan Kerja-kerja Berkaitan Di Kolej Vokasional Sultan Haji Ahmad Shah (SHAS) Kuala Lipis, Pahang direkabentuk oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun, Ibu Pejabat JKR Kuala Lumpur dan perlaksanaannya adalah secara konvensional. Jurutera Daerah JKR Lipis yang dilantik sebagai Pegawai Penguasa (PP) dan dibantu oleh Jurutera Bangunan selaku Wakil Pegawai Penguasa (WPP) serta Pegawai Tapak Bina (PTB). Kontraktor yang melaksanakan projek ini adalah Sahabat Karib Sdn. Bhd. Antara dua kaedah utama pembaikan cerun ini menggunakan kaedah Soil Nailing dan Gabion Mattress. Matlamat utama pembinaan projek ini adalah memastikan cerun kawasan sekolah ini stabil dan selamat memandangkan kawasan sekolah ini dibina berhampiran dengan cerun sediaada. Perlaksanaannya dapat menghilangkan kegusaran pihak sekolah kerana kegagalan cerun sebelum ini telah dibuat pembaikan sepenuhnya.

Pembinaannya telah bermula pada 3 Disember 2019 dan tempoh pembinaan asal selama 48 minggu yang mana penyiapan asalnya adalah pada 11 November 2020 dan dilanjutan tempoh pembinaan melalui EOT No.1 pada 24 Februari 2021. Walau bagaimanapun, projek ini dapat disiapkan awal dua bulan dari tarikh siap asal iaitu pada 16 Disember 2020. Kos Kontrak asal projek ini adalah RM 975,132.00 dan kos kontrak semasa adalah berjumlah RM 989,202.75.

Projek ini turut disiapkan dengan jayanya secara 4 dalam 1 iaitu:

  1. Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) yang telah diperakukan pada 16 Disember 2020
  2. Penyiapan Penyata Akaun Muktamad (SOFA) pada 17 Disember 2020
  3. Penyiapan As Built Drawing pada 16 Disember 2020
  4. Siap Awal pada 16 Disember 2020 ( awal 70 Hari )

 

Terdapat beberapa kekangan dalam perlaksanaan pembaikan cerun ini, antaranya adalah Penularan Wabak Covid-19 yang telah melanda negara kita baru- baru ini dan masih kekal sehingga sekarang. Penularan Wabak tersebut telah menyebabkan Perintah kawalan pergerakan (PKP) telah dilaksanakan bermula pada 18 Mac 2020 sehingga bulan Jun 2020. Perintah tersebut menyebabkan pihak kontraktor tidak dapat meneruskan kerja pembinaan. Selepas tempoh tersebut tamat, pihak kontraktor terpaksa menghadapi masalah lain pula iaitu kekurangan tenaga kerja dan kesukaran mendapatkan bekalan bahan mentah akibat daripada PKP dan persaingan dari pembinaan lain.

Walaupun pelbagai kekangan yang dihadapi, projek ini tetap dapat disiapkan awal dari tempoh penyiapan sebenar. Model-model pengalaman kejayaan projek sebelum ini di JKR Daerah Lipis dan di JKR lain telah dijadikan panduan untuk strategi perlaksaan bagi projek ini. Malah ianya ditambahbaik dari masa ke semasa. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat dalam memastikan projek ini dapat disiapkan dengan jayanya