Date: Selasa, March 9, 2021

Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Bangunan Radar, Pejabat dan 2 Unit Kuarters (Komponen 3) di Rompin, Jabatan Meteorologi Malaysia Negeri Pahang telah berlangsung dengan jayanya pada 5 Mac 2021 (Jumaat) bertempat di tapak projek Bangunan Radar Daerah Rompin, Pahang.

Majlis penyerahan ini telah disempurnakan dengan penyerahan kunci bangunan secara fizikal oleh YBrs. Encik Mohd Herzi Bin Che Hussin, Jurutera Daerah JKR Rompin selaku Pegawai Penguasa kepada YBrs. Tuan Jailan Bin Simon, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia. Majlis turut diserikan lagi dengan kehadiran YBrs. Ir. Ahmad Azizi Bin Ismail, Timbalan Pengarah JKR Pahang dan turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Meteorologi Malaysia, Pasukan Projek ,  HODT serta JKR Negeri Pahang.

Projek ini dilaksanakan secara konvensional dalaman yang menggunakan lukisan Pre-Approved Plan (PAP) dengan siling projek sebanyak RM 6.8 juta. Skop projek melibatkan pembinaan 1 unit bangunan pejabat, 2 unit Kuarters Kelas F dan 1 unit bangunan Menara Radar (Komponen 3) untuk pegawai dan kakitangan Stesen Meteorologi Radar Rompin. Tempoh penyiapan kontrak asal projek ini adalah selama 18 bulan iaitu bermula 17 Januari 2019 sehingga 15 Julai 2020 dan kontraktor telah diberi lanjutan masa selama 200 hari atas keperluan teknikal dan Arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selaras dengan ketetapan Kerajaan. Berkat kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh Kontraktor iaitu Zalwan Engineering Sdn. Bhd. projek ini akhirnya telah siap sepenuhnya dan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) telah dikeluarkan pada 29 Januari 2021.

Matlamat utama pembinaan bangunan radar ini adalah untuk membekalkan perkhidmatan meteorologi, seismologi dan tsunami. Perubahan dan keragaman iklim sejagat telah menyebabkan kejadian cuaca ekstrem yang mengakibatkan bencana alam di Malaysia. Negara juga mengalami kejadian gempa bumi dan pernah dilanda tsunami. Kejadian bencana alam ini telah menyebabkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda kepada Negara. Justeru, pembinaan menara radar ini merupakan usaha berterusan yang dilaksanakan oleh MET Malaysia  bagi mengurangkan impak bencana akibat cuaca, gempa bumi dan tsunami.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada Jurutera Daerah Rompin selaku Pegawai Penguasa Projek, JKR Negeri Pahang, Pasukan Projek HODT dan Cawangan Kerja Bangunan Am 2 selaku HOPT, Kontraktor seterusnya semua pihak yang telah berusaha gigih dan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam penyiapan projek ini.

 

Berita oleh :
Bahagian Bangunan
JKR Rompin