Date: Jumaat, Disember 16, 2022

BERLANGSUNG DI TAPAK PROJEK PERDA-TECH, SEBERANG PERAI SELATAN

15 HB DISEMBER 2022 (KHAMIS)

Alhamdulilah syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan Limpah Kurnia Dan Izin-Nya, Majlis Penyerahan PROJEK PEMBINAAN BLOK PENGAJIAN DI PERDA-TECH, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang telah berlangsung dengan jayanya pada 15hb. Disember 2022, bertempat di tapak projek ini.

Majlis Penyerahan projek telah disempurnakan oleh Ir. Mohamad Rodzi Bin Hasan, Jurutera Daerah JKR Seberang Perai Selatan, selaku Pegawai Penguasa projek kepada Puan Noor Hayati Binti Ishak, Timbalan Pengurus Besar, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA). Majlis ini turut diserikan lagi dengan disaksikan oleh Y.Brs. Ir. Ahmad Nadzri Bin Abdul Majid, Pengarah Jabatan Kerja Raya Pulau Pinang, YBrs. En. Zolkhifli bin Mohamad, Pengarah Institut Kemahiran Tinggi (PERDA-TECH), YBrs. Ir. Mohd Ezamudin bin Zulkifli Chan, Jurutera Kanan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Puan Nor Haslinda Binti Rusli, Pengarah Urusan Atlantas Construction Sdn. Bhd. selaku kontraktor utama projek, pegawai-pegawai kanan PERDA, pegawai-pegawai JKR Pulau Pinang dan JKR Seberang Perai Selatan, wakil Perunding serta pasukan kontraktor utama dan NSC.

Kaedah pelaksanaan projek ini adalah secara Konvensional Perunding yang mana  Cawangan Kerja Bangunan Am 2 (CKBA2) selaku Head of Project Team (HOPT) dan projek ini diselia oleh pasukan JKR Daerah Seberang Perai Selatan selaku Pegawai Penguasa. Pasukan perekabentuk terdiri daripada perunding LLA Arkitek Sdn. Bhd (Arkitek), Perunding Quants Utara (Ukur Bahan), Fazs Consulting Engineering( C&S), ABA Jurutera Perunding (Elektrik), Kumpulan Rekabina PSZ Sdn. Bhd. ( Mekanikal) manakala Head of Design Team (HODT) terdiri daripada Cawangan Arkitek, Cawangan Kejuruteraan Awam dan Struktur, Cawangan Kontrak dan Ukur Bahan, Cawangan Kejuruteraan Mekanikal dan Cawangan Kejuruteraan Elektrik.

Projek ini telah mula dilaksanakan pada 24hb November 2020 yang merangkumi pembinaan dua blok pengajian yang baru, iaitu BENGKEL AUTOMOTIF dan BENGKEL PERTANIAN dengan kos projek RM 10.57 juta, dan telah berjaya disiapkan sepenuhnya pada 17hb November 2022 iaitu siap 64 hari lebih awal daripada tarikh siap semasa (20hb Januari 2023).

Antara skop utama yang terdapat di dalam setiap blok adalah melibatkan kerja-kerja pembinaan ruang bengkel, bilik kuliah, bilik Makmal, ruang persediaan dan bilik-bilik pensyarah. Selain daripada itu, skop infrastruktur dan landskap juga adalah sebahagian skop utama projek ini.

Di samping itu, projek ini juga telah disiapkan dan diserahkan secara 6 dalam 1, iaitu;

1.         Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC)

2.         Siap dalam tempoh kontrak (AWAL 64 HARI)

3.         Serahan bersama As-Built Drawing

4.         Penyata Akaun Muktamad (SOFA) Disediakan

5.         Zero Lost Time Injuries (sifar kemalangan tapak bina)

6.         Zero Major Defect

Syabas dan tahniah diucapkan kepada Pasukan Projek JKR Seberang Perai Selatan, JKR Pulau Pinang, Cawangan Kerja Bangunan Am 2, perunding dan kontraktor utama Atlantas Construction Sdn. Bhd. serta semua agensi yang telah terlibat secara langsung dan tidak langsung kerana telah berjaya menyiapkan projek ini di dalam tempoh kontrak, kos dan kualiti yang ditetapkan.