Date: Selasa, Februari 6, 2018

Majlis Penyerahan Projek Klinik Kesihatan Baharu Dengan Perkhidmatan Khas, Sungai Rengit, Pengerang, Johor telah disempurnakan pada hari Isnin, 5 Februari 2018.

Majlis menandatangani sijil penyerahan projek dan penyerahan replika kunci di antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) ini telah disempurnakan bersama oleh YBrs. Tuan Muhammad Shahrizal Bin Abd. Ghani, Wakil KKM  dan YBrs. Ir. Mat Rosly Mat Daud, Pengarah Pembinaan Pasukan Projek Khas (PIPC). Majlis turut disaksikan oleh YBrs. Ar. Zainal Bin Mat Rais, Arkitek Penguasa Kanan, Cawangan Kerja Kesihatan dan Dr. Hjh. Norhamimah Binti Hj. Abdullah, Pegawai Kesihatan Daerah Kota Tinggi.

Penyerahan Projek Klinik Kesihatan Baharu Sungai Rengit ini merupakan satu lagi kesinambungan pencapaian pembangunan projek-projek yang dilaksanakan oleh JKR di kawasan pembangunan Pengerang Integrated Petroleum Complex (PIPC) dalam usaha untuk menyediakan keperluan infrastruktur dan kemudahan awam di kawasan Pengerang. Di samping itu, penyediaan kemudahan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat dan juga kepada pelabur-pelabur yang menjalankan industri minyak di kawasan pengerang ini.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada pihak KKM, JKN, JKR, JPDC dan juga Kontraktor Zainal & Din Construction Sdn. Bhd. serta semua pihak yang terlibat dalam memberikan kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam menjayakan pelaksanaan Pembinaan Klinik Kesihatan Baharu Dengan Perkhidmatan Khas ini. Semoga projek ini membantu pihak Jabatan Kesihatan Negeri untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik dan manfaat kepada komuniti sekitarnya.