Date: Selasa, Oktober 6, 2020

Majlis penyerahan projek siap kepada pelanggan bagi Pembinaan Kuarters Kakitangan Klinik Cure & Care 1Malaysia (C&C) Dengkil, Selangor telah diadakan pada 21 September 2020 (Isnin), jam 9.30 pagi bertempat di Kuarters Kakitangan Klinik Cure & Care Dengkil, Selangor Darul Ehsan. Majlis penyerahan ini telah dilaksanakan oleh YBrs Ir. Shahabuddin bin Mohd Muhayidin, Pengarah JKR Negeri Selangor dan YBrs En. Shahril bin Abdullah, Timbalan Setiausaha Bahagian Pembangunan Kementerian Dalam Negeri.

Majlis penyerahan yang penuh bermakna ini juga turut diserikan dengan kehadiran wakil Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Puan Tan Kim Sze, Pengarah PUSPEN Dengkil, Puan Ruziliza binti Ibrahim, Wakil HOPT Cawangan Kerja Keselamatan Ibu Pejabat JKR Malaysia, Ir. Saparudin bin Lolong, Jurutera Daerah Sepang, Ir. Mohamad Yusrey bin Mahat, Wakil kontraktor, Encik Mohamad bin Chik, pegawai-pegawai daripada Kementerian Dalam Negeri, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, kakitangan Klinik Cure & Care Dengkil, JKR Selangor dan JKR Daerah Sepang.

Projek Pembinaan Kuarters Kakitangan Klinik Cure & Care 1Malaysia (C&C) Dengkil, Selangor merupakan salah satu projek Kerajaan Persekutuan di mana pembiayaan projek ini diturunkan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN). Perolehan bagi projek ini dilaksanakan secara Tender Terbuka dengan kaedah Konvensional Dalaman. Pengurus Program adalah Pengarah Cawangan Kerja Keselamatan (CKS) manakala Pegawai Penguasa Projek adalah Jurutera Daerah Sepang.

Kontraktor G7 yang bertanggungjawab melaksanakan projek ini adalah Europlex Sdn. Bhd. dengan kos kontrak semasa sebanyak RM 12,146,182.48. Tarikh milik tapak bagi projek ini ialah pada 18 September 2017 dan kerja-kerja mengikut syarat-syarat kontrak telah berjaya disiapkan sepenuhnya pada 25 Ogos 2020.

Skop Projek ini merangkumi;

  1. 1 Blok Kuarters Kelas F ( 4 Tingkat ) - 30 Unit
  2. 1 Unit Pondok Pengaawal
  3. 1 Unit Rumah Sampah
  4. 1 Bilangan STP (Sewerage Treatment Plant)
  5. 1 Bilangan O.S.D (On-Site Detention)
  6. 72 Unit Tempat Meletak Kereta
  7. 30 Unit Tempat Meletak Motor
  8. 3 Unit Tempat meletak kereta OKU

Projek ini turut disiapkan dengan jayanya secara 6 dalam 1 merangkumi;

  1. Perakuan Siap Kerja (CPC)
  2. Penyata Akaun Muktamad (SOFA)
  3. Lukisan Siap Bina
  4. Pengurangan Kos Kontrak
  5. Siap Kerja Awal
  6. Score IBS melebihi 70%

Syabas dan tahniah diucapkan kepada Pasukan Projek JKR Daerah Sepang khususnya, Wakil Pegawai Penguasa Pakar (WPP Pakar) JKR Selangor, Cawangan Kerja Keselamatan selaku Pengurus Program, barisan pakar HODT Ibu Pejabat JKR Malaysia, Kontraktor Utama Europlex Sdn. Bhd., Sub-kontraktor serta semua pihak dan agensi yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menyiapkan projek ini.