Date: Isnin, March 26, 2018

Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Padang Bola Sepak Tiruan (Artificial Turf) telah disempurnakan pada hari Ahad, 25 Mac 2018 di Kompleks Sukan Padang Perdana, Kota Bharu, Kelantan. Projek ini dapat disiapkan secara 3 dalam 1 iaitu penyerahan Sijil Perakuan Siap Kerja, Lukisan Siap Bina (As-Built Drawing) dan Sijil Perakuan Muktamad (Statement of Final Account)

Majlis dihadiri oleh YBrs. Ir. Muhammad Azman Bin Jamrus, Pengarah Kanan Cawangan Kerja Bangunan Am 1, YBhg. Dato’ Siti Fatimah Binti Daud, Bahagian Dasar Saraan dan Pengurusan, Kementerian Kewangan Malaysia, YBhg. Dato’ Haji Zamri Bin Ismail, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu, YBrs. Encik Zamani Bin Omar, Jurutera Jajahan Kota Bharu, serta semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan projek ini.  

JKR Malaysia telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan projek ini secara rundingan terus. Kontraktor yang membina padang ini adalah RS Greenmaster Sdn. Bhd. melibatkan kos sebanyak RM4,134,000.00 dan keluasan padang 7,848 meter persegi. Padang bola sepak tiruan di Kota Bharu telah dimulakan pada 10 Januari 2017 dan tarikh siap asal pada 8 Januari 2018. Projek telah diberi lanjutan masa sehingga 22 Mac 2018 dan Sijil Perakuan Siap Kerja telah di keluarkan pada 22 Mac 2018. Padang bola sepak tiruan di Kota Bharu telah dibina dengan menepati kualiti yang diiktiraf oleh organisasi bola sepak dunia, FIFA dengan mendapat Persijilan FIFA Kualiti Pro.

Majlis diteruskan dengan sesi menandatangani Dokumen Penyerahan Projek dan serahan projek daripada JKR kepada Kementerian Kewangan Malaysia dan seterusnya kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu. Para hadirin seterusnya membuat lawatan ke padang sebelum bersurai pada jam 11.00 pagi.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada Pasukan JKR dan Kontraktor kerana telah berjaya menyiapkan projek ini dengan hasil kerja yang berkualiti dan memuaskan. Semoga warga Kelantan dapat memanafaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan demi meningkatkan kecemerlangan sukan di negara ini.