Date: Khamis, March 4, 2021

Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) terus giat melaksanakan projek-projek pembangunan infrastruktur Negara. Antaranya ialah pembinaan Projek Persimpangan Bertingkat (Elevated T-Junction) Di Atas Lintasan Keretapi Di Pekan Tanah Merah di Negeri Kelantan.

Projek reka dan bina (D&B) ini di bawah seliaan Cawangan Jalan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan dilaksanakan oleh kontraktor After Image Sdn. Bhd. Ia mula dibina pada 19 Ogos 2016 dan siap pada 22 Disember 2020. Skop projek merangkumi pembinaan Elevated T-Junction di atas   KM 29 Jalan Pasir Mas-Tanah Merah (FT129) & Laluan (FT259) Jalan Yahya Petra, menaiktaraf jalan sedia ada, pemasangan lampu jalan, lampu isyarat dan pembinaan persimpangan U.

Pelaksanaan projek ini amat strategik dan bersesuaian berikutan Bandar Tanah Merah merupakan kawasan yang sedang pesat membangun dan merupakan pusat aktiviti ekonomi penduduk setempat. Limpahan kenderaan terutamanya pada waktu puncak telah mengakibatkan berlakunya kesesakan lalulintas dan keadaan ini bertambah teruk dengan adanya laluan keretapi di tengah-tengah bandar.

Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Hj Fadillah Bin Hj Yusof hari ini hadir untuk menyaksikan Majlis Penyerahan Projek Persimpangan Bertingkat (Elevated T-Junction) Di Atas Lintasan Keretapi Di Pekan Tanah Merah di Negeri Kelantan melalui sesi Menandatangani Dokumen Penyerahan Projek oleh Ketua Setiausaha KKR dan Pengarah Projek JKR.

Pada majlis sama hari ini, diadakan Penyampaian Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor yang berjaya memperolehi pelawaan projek oleh JKR pada kali ini.

SST melibatkan dua (2) projek iaitu Projek UMS - Pembinaan Jalan Masuk Utama Sepanjang 1.5km Ke Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah (HUMS) dan Projek Lebuhraya Kota Bharu – Kuala Krai (KBKK) Pakej 2C & 3A; Kok Lanas ke Bukit Tiu.

Projek UMS di bawah kementerian pelanggan iaitu Kementerian Pengajian Tinggi,melibatkan pembinaan jalan masuk utama sepanjang 1.5km ke Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah (HUMS). Tarikh milik tapak adalah pada 15 Mac 2021 dan tempoh kontrak adalah selama 24 bulan.

Bagi projek Lebuhraya Kota Bharu Ke Kuala Krai (KBKK) Pakej 2C & 3A : Kok Lanas Ke Bukit Tiu, Kelantan sepanjang 19.13km dimana ia adalah sebahagian daripada keseluruhan jajaran iaitu 71.4km. Jajaran ini merupakan cadangan jajaran baharu yang selari dengan jalan Laluan Persekutuan 8 (FT8). Ia akan bersambung dengan cadangan jajaran Central Spine Road (CSR) yang bermula dari Kuala Krai, Kelantan ke persimpangan Lebuhraya Pantai Timur di  Karak. Tarikh Milik Tapak projek ini adalah pada 7 Mac 2021 manakala Tarikh Siap Projek iaitu pada 6 Mac 2024. Tempoh kontrak adalah selama 36 bulan.