Date: Jumaat, Ogos 11, 2023

Majlis penyerahan projek siap kepada pelanggan bagi PROJEK CADANGAN MEMBINA DAN MENYIAPKAN MASJID BANDAR TEKNOLOGI KAJANG DALAM DAERAH HULU LANGAT, SELANGOR DARUL EHSAN telah berlangsung pada 10 Ogos 2023 (Khamis) bertempat di Dewan Solat, Masjid Bandar Teknologi Kajang, Selangor Darul Ehsan.

Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBrs. Ir. Mohd Zawawi Bin Zakaria, Timbalan Pengarah, Jabatan Kerja Raya Selangor mewakili Pengarah, Jabatan Kerja Raya Selangor kepada YBhg. SS Dato' Haji Mohd Shahzihan Bin Ahmad, Pengarah, Jabatan Agama Islam Selangor dan disaksikan oleh Y.D.H. Dato’ Orang Kaya To’ Engku Maha Bijaya Hulu Langat, Dato' Haji Rosli Bin Othman, Orang Besar Daerah Hulu Langat.

Sesi penyerahan ini juga turut diserikan dengan kehadiran YBrs. Ir. Ts. Mohd. Zamri bin Mohamud, Jurutera Daerah JKR Hulu Langat, YBrs. Dr. Ahmad Zaky Bin Ali, Pegawai Tadbir Agama Daerah Hulu Langat, Pegawai-Pegawai daripada JKR Selangor & Jabatan Agama Islam Selangor, Pasukan Pejabat Selia Tapak (JKR Hulu Langat), Pasukan Kontraktor dan NSC serta warga kerja Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat.

Kaedah pelaksanaan projek ini adalah secara Konvensional Perunding di mana, semua perancangan dan rekabentuk dibuat secara dalaman (in-house) oleh Pasukan Projek JKR Selangor kecuali rekabentuk sivil dan  struktur oleh Perunding Sivil dan Struktur (Hayat Kamil & Partner Consulting Engineer). Pembinaan ini, dilaksanakan oleh kontraktor kelas G7, (Gabungmas Sdn Bhd) yang dilantik melalui proses tender terbuka.

Pembangunan ini hanya melibatkan kawasan seluas 26,079.7 meter persegi  (6.44 ekar) daripada keluasan keseluruhan lot tanah milik JAIS seluas 7.33 ekar. Skop kontrak bagi projek ini melibatkan kerja-kerja awalan, kerja-kerja cerucuk dan kerja-kerja membina Satu (1) Blok Bangunan Masjid, Menara Azan dan Sistem Siaraya, Rumah Sampah, Pencawang Elektrik (Sub-Station) dan tempat meletak kenderaan awam.

Sekali lagi diucapkan SYABAS dan TAHNIAH kepada Pasukan Projek JKR Selangor, Pasukan Pejabat Selia Tapak (JKR Hulu Langat), Kontraktor (Gabungmas Sdn Bhd), Semua NSC dan Perunding kerana telah berjaya menyiapkan projek ini. Tidak dilupakan ucapan jutaan terima kasih kepada Jabatan Agama Islam Selangor selaku pelanggan utama dan pihak end user iaitu Pejabat Agama Daerah Hulu Langat yang telah memberi kepercayaan kepada Jabatan Kerja Raya Selangor untuk menyiapkan Masjid Bandar Teknologi Kajang.