Majlis penyerahan projek siap kepada pelanggan bagi PROJEK PEMBINAAN BANGUNAN RADAR, PEJABAT DAN 2 UNIT KUARTERS (KOMPONEN 3) DI KUALA GULA, PERAK telah berlangsung dengan jayanya pada 19 Oktober 2022 (Rabu) bertempat di tapak projek Bangunan Radar di Kuala Gula, Perak pada jam 11.00 pagi.
Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh Jurutera Daerah JKR Kerian selaku Pegawai Penguasa kepada YBrs. Tuan Muhammad Helmi Bin Abdullah, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia. Majlis penyerahan ini juga turut diserikan lagi dengan kehadiran YBrs. Tuan Syed Zubir bin Syed Husin, Timbalan Pengarah JKR Negeri Perak dan turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Meteorologi Malaysia, Pasukan Projek JKR, HOPT, HODT serta pihak kontraktor.
Skop projek ini melibatkan pembinaan satu (1) unit bangunan pejabat, dua (2) unit Kuarters Kelas F dan satu (1) unit bangunan Menara Radar (Komponen 3) untuk pegawai dan kakitangan Stesen Meteorologi Radar Kuala Gula. Projek ini dilaksanakan dibawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), Rolling Plan 1 (RP1) dengan kaedah pelaksanaan secara konvensional dalaman. Pengurus Program adalah Cawangan Kerja Bangunan Am 2 manakala Innokoperat Sdn Bhd merupakan kontraktor yang telah dilantik secara kaedah perolehan tender terbuka. Pembinaan ini bermula pada 17 Januari 2019 dan telah berjaya disiapkan pada 14 September 2022 dengan kos muktamad berjumlah RM 5,993,037.44 berbanding kos asal projek iaitu RM 6,591,236.60 dan penjimatan sebanyak RM 598,199.16.
Projek ini telah berjaya disiapkan secara 3 dalam 1 iaitu:
1. Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) yang telah diperakukan pada 14 September 2022
2. Pengeluaran Statement of Final Account (SOFA)
3. Lukisan Siap Bina
Projek ini juga turut mencapai sifar kemalangan sepanjang tempoh pembinaan dilaksanakan.
Setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan penyeliaan JKR termasuk Cawangan Kerja Bangunan Am 2 selaku Pengurus Program, HOPT, HODT, WPP Pakar, pihak kontraktor Innokoperat Sdn. Bhd., Subkontraktor Dinamakan (NSC) serta semua agensi yang terlibat yang telah berusaha gigih dan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam penyiapan projek ini.
- 1087 bacaan