Date: Rabu, March 24, 2021

Majlis penyerahan projek siap kepada pelanggan bagi PROJEK PEMBINAAN PEJABAT KESIHATAN DAERAH JELI, KELANTAN telah diadakan pada 20 Mac 2021 (Sabtu) bertempat di Tapak Projek Kesihatan Daerah Jeli, Kelantan pada jam 9.00 pagi.

Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBhg, Datuk Ir. Razwan Bin Kasim, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia (Sektor Pakar) kepada YB Dato' Dr Haji Noor Azmi Bin Ghazali, Timbalan Menteri Kesihatan 1 diiringi oleh YBrs. Dr. Mohd Khalid Bin Abdul Samad, Timbalan Setiausaha Bahagian Kanan, Bahagian Pembangunan Kementerian Kesihatan Malaysia dan YBrs. Dr. Rozita Halina Binti Tun Hussein, Pengarah Bahagian Perancangan, Kementerian Kesihatan Malaysia serta disaksikan oleh YB Dato' Sri Mustapa Bin Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).

Majlis penyerahan ini juga turut dihadiri bersama YBhg. Dato’ Dr. Zaini Bin Hussin, Pengarah Kesihatan Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, YBrs. Ar. IDr. Azman Bin Md. Hashim, Pengarah Cawangan Kerja Kesihatan dan YBrs. Ir. Ahmad Amru Bin Yusoff, Jurutera Jajahan JKR Jeli serta pegawai dari JKR Negeri Kelantan, JKN Kelantan, Ketua Jajahan Jeli dan pengguna akhir (end user) PKD Jeli.

Kaedah pelaksanaan projek ini adalah secara Konvensional Dalaman, Pengurus Program adalah Cawangan Kerja Kesihatan, manakala Pegawai Penguasa Projek adalah Pengarah JKR Negeri Kelantan. Projek ini menggunakan rekabentuk Pejabat Kesihatan Daerah Seri Iskandar, Perak. Projek ini telah ditender secara tender terbuka dan kontraktor yang terpilih untuk melaksanakannya adalah NH Aries Sdn Bhd. Pembinaan ini bermula pada 13 Mei 2018 dan telah berjaya disiapkan pada 31 Disember 2020. Kos projek asal projek ini adalah RM 15,993,459.14 dan telah disiapkan dengan kos sebenar berjumlah RM 14,666,760.81 dengan penjimatan sebanyak RM 1,326,698.33. Projek ini juga turut mencapai Sifar Kemalangan sepanjang tempoh pembinaan dilaksanakan.

Projek ini merangkumi 1 blok utama 2 tingkat iaitu 1 tingkat bawah yang mengandungi lobi utama, Unit Pentadbiran, Ruang Pre-Function dan Bilik Seminar serta ruang-ruang servis dan sokongan. Manakala 1 tingkat atas merangkumi Unit Inspektorat, Unit Vektor dan Unit Pembangunan Kesihatan Keluarga serta ruang-ruang servis dan sokongan. Projek ini turut terdiri dengan blok-blok sokongan iaitu blok perkhidmatan, blok sokongan (stor), tempat pengumpulan sampah, pos pengawal, unit kondenser A, garaj kenderaan jabatan dan tempat letak kereta pegawai (berbumbung).

Projek ini turut berjaya disiapkan secara 3 dalam 1 iaitu:

  1. Lukisan Siap Bina
  2. Manual Operasi & Penyelenggaraan
  3. Sijil Perakuan Siap Kerja

Syabas dan tahniah diucapkan kepada Pasukan Projek JKR Negeri Kelantan, Cawangan Kerja Kesihatan selaku Pengurus Program, barisan pakar rekebentuk HODT JKR, NH Aries Sdn Bhd, Subkontraktor Dinamakan serta semua pihak serta agensi yang terlibat kerana telah berjaya menyiapkan projek ini dengan output kerja yang amat membanggakan.