Date: Khamis, September 12, 2019

Majlis penyerahan projek siap bagi Projek Membina Jejantas Pejalan Kaki Di Laluan FT 700, Jalan Pohon Batu, Wilayah Persekutuan Labuan telah diadakan pada 05 September 2019 (Khamis), bertempat di Tapak Projek (bersebelahan SK Pantai & SMK Pantai WP Labuan).

Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBhg. Tn. Ir. Hj. Zulakmal bin Haji Sufian, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), Jabatan Kerja Raya Malaysia kepada YBhg. Tn. Ir. Mohd Shahrom bin Ahmad Saman, Timbalan Setiausaha Bahagian Perancang Jalan, Kementerian Kerja Raya Malaysia selaku wakil pihak Pelanggan.

Turut menyerikan majlis ini adalah YBrs. Tn. Ir. Alfred Sim Seck Puan (Pengarah Kerja Raya, JKR Wilayah Persekutuan Labuan), YBrs. Ir. Siti Norleha binti Rasid (Jurutera Awam Penguasa Kanan) selaku Ketua Pasukan Projek (HOPT) Cawangan Jalan, Ibu Pejabat JKR Malaysia, YBrs. Mohd Elham Abd Kasim (Jurutera Awam Penguasa Kanan) Cawangan Senggara Fasiliti Jalan, Ibu Pejabat JKR Malaysia, Pengetua SMK Pantai dan Guru Besar SK Pantai, Pegawai-Pegawai Kanan dari Kementerian Kerja Raya, Ibu Pejabat JKR Malaysia dan JKR WP Labuan, Ketua-ketua Jabatan dan wakil syarikat utiliti dan kontraktor JAD Enterprise.

Projek ini dilaksanakan bertujuan untuk mengatasi masalah keselamatan pengguna pejalan kaki khususnya murid-murid dan guru-guru di Sekolah Kebangsaan Pantai, Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai serta penduduk sekitar. Dengan siapnya pembinaan jejantas ini akan dapat melancarkan aliran trafik di Jalan Pohon Batu serta mengurangkan gangguan trafik melibatkan pejalan kaki yang menyeberangi jalan tersebut.

Skop projek ini melibatkan pembinaan jejantas pejalan kaki sepanjang 30 meter ini adalah menggunakan precast concrete box girder tanpa tiang tengah dengan kos berjumlah RM2.8 juta. Projek ini adalah merupakan peruntukan kerajaan Persekutuan di bawah Progam Menaiktaraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya RMK-11 Kementerian Kerja Raya Malaysia yang dilaksana secara konvensional dalaman dan pengawasan sepenuhnya oleh JKR Labuan. Pembinaan projek ini telah bermula pada 30 April 2018 dan berjaya disiapkan serta dibuka kepada pengguna pejalan kaki pada 27 Ogos 2019 .

JKR Labuan telah berjaya melaksanakan projek ini mengikut sasaran dari aspek skop, kos, masa & kualiti. JKR Malaysia mengiktiraf pencapaian penyerahan projek kategori 7 in 1 meliputi ketersediaan pencapaian berikut:

1. Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC)
2. Penyerahan Lukisan Terbina (As Built Drawing)
3. Penyata Akauan Muktamad (SOFA)
4. Penyiapan Projek 2 hari lebih awal daripada tarikh kontrak
5. Penjimatan Kos sebanyak RM 348,672.20
6. Sifar Kemalangan di Tapak
7. Mencapai Kepuasan Pelanggan (Melalui Borang Maklumbalas Pelanggan)


Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Cawangan Jalan, HODT, JKR Labuan, pihak kontraktor projek dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan projek dapat disiapkan dengan jayanya.

Berita oleh;

Bahagian Pengurusan Projek Zon Tengah
Cawangan Jalan
Ibu Pejabat JKR Malaysia