Date: Khamis, September 10, 2020

Bertempat di Aras Mezannine, Blok G, Menara Kerja Raya pada 9 September 2020, jam 11.00 pagi telah berlangsung Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan penyerahan surat rasmi perlantikan Pegawai Penguasa bagi projek di bawah Cawangan Kerja Kesihatan (CKK) yang melibatkan projek HOSPITAL PASIR GUDANG, JOHOR (REKA DAN BINA) - TENDER SEMULA.

Majlis telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya, dengan penyerahan dokumen Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor yang berjaya iaitu; AIM CONCEPT SDN. BHD. serta penyerahan surat pelantikan Pegawai Penguasa kepada Pengarah Pasukan Projek Khas 1, Tn. Zulkipli bin Hj. Nasri. Majlis turut dimerterai dengan sesi bacaan ikrar dan tandatangan Aku Janji Kontraktor yang disaksikan oleh Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia.

Turut hadir bersama adalah Pengarah Cawangan Kerja Kesihatan, Ar. IDr. Azman bin Md Hashim selaku Pengurus Program Projek, Dr. Mohd Khalid bin Abd Samad, Timbalan Setiausaha Bahagian Kanan daripada Bahagian Pembangunan KKM, Datin Ar. Hjh. Mariani Noor binti Suhud, Pengarah Kanan Cawangan Arkitek (menjalankan tugas TKP Sektor Pakar) dan Ar. IDr. Zainal bin Hj. Mat Rais, S.I.S, A.M.N Arkitek Penguasa Kanan, selaku Ketua Bahagian Pengurusan Projek 4.

Majlis turut diraikan bersama Pengarah-Pengarah Cawangan JKR yang terlibat, Ketua-Ketua Bahagian CKK, warga Bahagian Pengurusan Projek 4, Cawangan Kerja Kesihatan, wakil-wakil dari Kementerian Kesihatan Malaysia dan wakil-wakil dari pejabat HODT yang terlibat.

JKR selaku agensi pelaksana kerajaan memikul amanah rakyat untuk memastikan serta memenuhi aspirasi kerajaan agar projek ini dapat disiapkan dengan sempurna, berkualiti & tepat pada masa sepertimana yang telah dijanjikan.

#jasakepadarakyat #infraprihatin