Date: Rabu, Januari 3, 2024

Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Pelantikan Pegawai Penguasa bagi projek PELAKSANAAN KERJA-KERJA PEMULIHARAAN BANGUNAN SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN KING GEORGE V, SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN telah diadakan pada 2 Januari 2024 (Selasa) bertempat di Aras 2, Menara Kerja Raya (Blok G), Ibu Pejabat JKR Malaysia, Kuala Lumpur.

Majlis ini disempurnakan oleh YBrs Ir Ahmad Shahruzi bin Ahmad, Pengarah Cawangan Senggara Fasiliti Bangunan, YBrs Ir Wan Hasnan bin Wan Musa, Pengarah JKR Negeri Sembilan, YBrs Puan Zalina binti Rosli, Setiausaha Bahagian Pengurusan Aset, Kementerian Pendidikan Malaysia, YBrs Ir Ts Fadzilah binti Sulaiman, Jurutera Awam Penguasa Kanan, Bahagian Fasiliti Bangunan Pendidikan, Cawangan Senggara Fasiliti Bangunan, Dr Mohd Sabere bin Sulaiman, Konservator Berdaftar bagi pihak Kerajaan dan pasukan projek HOPT, HODT, KPM, JPN dan pihak sekolah.

Majlis dimulakan dengan sesi penyerahan Surat Setuju Terima kepada kontraktor KSB Global Sdn Bhd diikuti penyerahan surat Pelantikan Pegawai Penguasa kepada YBrs Ir Wan Hasnan bin Wan Musa, Pengarah JKR Negeri Sembilan.

Projek ini telah diluluskan untuk pelaksanaan di bawah one line item, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) Tahun 2023 dengan Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai agensi pelanggan dan Sekolah Menengah Kebangsaan King George V selaku pengguna. Objektif projek ini adalah melaksanakan kerja-kerja pemuliharaan secara menyeluruh bagi dua blok bangunan warisan yang telah diwartakan sebagai warisan kebangsaan melibatkan Blok Pentadbiran dan Blok Pusat Sumber.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pihak yang terlibat terutama pasukan HOPT Cawangan Senggara Fasiliti Bangunan, Konservator Cawangan Arkitek dan pasukan HODT dari Cawangan Arkitek, Cawangan Kejuruteraan Awam dan Struktur, Cawangan Kejuruteraan Geoteknik, Cawangan Kejuruteraan Elektrik, Cawangan Kejuruteraan Mekanikal dan Cawangan Kontrak dan Ukur Bahan dalam merealisasikan harapan dan objektif projek ini. Semoga projek ini dapat disiapkan dengan jayanya mengikut kos, kualiti dan tempoh yang ditetapkan serta mematuhi Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) selaras dengan aspirasi Pembangunan Negara.