Date: Isnin, Februari 26, 2018

Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima kepada kontraktor-kontraktor yang dilantik bagi Projek Pembinaan Semula dan Menaiktaraf Sekolah Daif Menggunakan Kaedah Industrialised Building System (IBS) di Negeri Sabah dan Projek Penyelenggaraan Sistem Solar Hibrid Bagi Sekolah-sekolah Luar Bandar Negeri Sabah telah berlangsung dengan jayanya pada hari Isnin, 26 Februari 2018 di SK Limputung, Papar, Sabah.

Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Rosnah Binti Abdul Rashid Shirlin dan turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan Bin Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya, YBrs. Ir. Muhammad Azman Bin Jamrus, Pengarah Kanan Cawangan Kerja Bangunan Am 1, YBhg. Dato’  Ir. Shuib Bin Tabri , Pengarah Kanan Cawangan Kejuruteraan Elektrik dan YBrs. Ir. Hj. Amrullah Bin Kamal, Pengarah JKR Negeri Sabah.

Semasa pembentangan Bajet 2018, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.5 billion untuk dua (2) ribu sekolah di seluruh negara yang berada dalam keadaan daif seperti bumbung bocor, lantai rosak, dinding berlubang dan peralatan lama yang tidak berganti. Berdasarkan peruntukan tersebut, sebanyak RM1 billion telah diperuntukkan kepada Negeri Sabah.

Kementerian Kewangan telah bersetuju untuk meluluskan pertambahan skop dengan kos sebanyak RM34,100,000.00 yang menjadikan kos keseluruhan projek Fasa 1 di Negeri Sabah sebanyak RM164,000,000.00 bagi memenuhi keperluan Kementerian Pendidikan Malaysia. Pelaksanaan projek Fasa 1 ini melibatkan 37 buah sekolah dan pemilihan kontraktor dibuat secara rundingan terus dari kalangan kontraktor tempatan di Negeri Sabah.

Bagi Projek Penyelenggaraan Sistem Solar Hibrid pula, Kementerian Pendidikan Malaysia telah memperuntukkan kos sebanyak RM 24 juta untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan sistem solar hibrid di 138 buah sekolah-sekolah di Sabah dan tempoh pelaksanaan adalah selama dua (2) tahun. Pemilihan kontraktor telah dibuat secara tender terbuka.

JKR selaku agensi pelaksana yang diamanah untuk melaksanakan projek demi kepentingan rakyat berusaha sebaik mungkin bagi memastikan projek dapat disiapkan dengan sempurna, berkualiti dan mengikut tempoh yang ditetapkan.