Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Dokumen Kontrak Secara 2 in 1 Bagi Projek Balai Bomba Dan Penyelamat Seksyen 7, Shah Alam, telah diadakan pada 23 Oktober 2024 (Rabu) bertempat di Bilik Mesyuarat Emerald 1, Tingkat 20, Cawangan Kerja Keselamatan, Maju Tower, Ibu Pejabat JKR Malaysia, Kuala Lumpur.
Majlis telah disempurnakan oleh Pengarah Cawangan Kerja Keselamatan, YBrs. Ir. Maria Binti Marcus. Hadir sama adalah YBrs. Ir. Nurul Munadiah Binti Che Dahalan, Ketua Penolong Setiausaha Teknikal, Bahagian Pembangunan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; YBrs. Ir. Muhammad Rabbani bin Ruzali, Jurutera Bangunan, Jabatan Kerja Raya Daerah Petaling selaku wakil Pegawai Penguasa; YBrs. Ar. Mohd Hafizzudin Bin Md Zahir, Arkitek Penguasa Kanan, Bahagian Pengurusan Projek 5, CKS serta pasukan projek HOPT dan HODT.
Majlis dimulakan dengan sesi penyerahan Surat Setuju Terima dan Dokumen Kontrak kepada Kontraktor yang berjaya dan diteruskan dengan sesi menandatangani surat Aku Janji Kontraktor yang disaksikan oleh YBrs. Ir. Maria Binti Marcus.
Skop bagi projek ini melibatkan pembinaan Balai Bomba Kategori C – 2 Petak (2 Tingkat) beserta lain-lain komponen utama projek termasuk :-
- Stor Logistik (Stor Basah & Stor Kering);
- Menara Latihan (5 Tingkat);
- Kolah Air Terbuka;
- Padang Kawad ;
- Tempat Letak Kereta Berbumbung; dan
- Komponen sokongan lain seperti Rumah Pam & Tangki Sedut, Rumah Sampah, Gelanggang IPPT (Individual Proficiency Physical Test)
Projek ini telah direka bentuk secara konvensional dalaman oleh pihak JKR. Syabas dan tahniah diucapkan kepada kontraktor yang berjaya. Semoga projek dapat dilaksanakan dengan jayanya dalam tempoh pelaksanaan ditetapkan iaitu 104 minggu. Tarikh milik tapak projek ini adalah pada 1 November 2024 dan dijangka siap pembinaan pada 29 Oktober 2026.
JKR selaku agensi pelaksana akan memikul amanah yang telah diberikan dengan baik bagi memenuhi aspirasi Kerajaan agar projek ini dapat disiapkan dengan sempurna, berkualiti dengan kos dan tempoh masa seperti mana yang telah ditetapkan di dalam kontrak.
#IamJKR #KitaJKR #JKRsynergy
#JasaKepadaRakyat
- 1198 bacaan