Date: Jumaat, Disember 4, 2020

CADANGAN PROJEK PENYELENGGARAAN SISTEM SOLAR HIBRID BAGI SEKOLAH-SEKOLAH LUAR BANDAR SEMENANJUNG TAHUN 2020 SEHINGGA 2023

MAJLIS PENYERAHAN SURAT SETUJU TERIMA (SST)

Bertempat di Ibu Pejabat JKR Malaysia pada 3 Disember 2020, telah berlangsung Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi Cadangan Projek Penyelenggaraan Sistem Solar Hibrid Bagi Sekolah-sekolah Luar Bandar Semenanjung Tahun 2020 sehingga 2023 yang dilaksanakan oleh Cawangan Kejuruteraan Elektrik, JKR Malaysia.

Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor yang berjaya ini telah disempurnakan oleh YBrs. Ir. Hanizan Bt Shaffii, Pengarah Kanan Cawangan Kejuruteraan Elektrik, JKR Malaysia. Kontraktor yang berjaya adalah Persada Electrical & Engineering Works Sdn. Bhd.

Turut diadakan semasa majlis ini adalah Majlis Menandatangani Dokumen Kontrak dan Penyerahan Surat Pelantikan Pegawai Penguasa. Majlis ini turut dihadiri oleh YBrs. Ir. Zuraidah Bt Muhamad, Jurutera Elektrik Penguasa Kanan yang menjalankan tugas Pengarah Perkhidmatan Pakar, Cawangan Kejuruteraan Elektrik, YBrs. Ir. Rudy bin Amir, Jurutera Elektrik Penguasa Kanan, Unit Perunding Kecekapan Tenaga Elektrik dan YBrs. En. Azlan Bin Arifin, mewakili Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia.

Objektif utama perlaksanaan projek ini adalah untuk menyelenggara sistem tenaga elektrik alternatif menggunakan sistem solar hibrid di dua puluh satu (21) buah sekolah-sekolah luar bandar di Semenanjung dengan tempoh kontrak selama 36 bulan.

JKR selaku jabatan teknikal dan agensi pelaksana Kerajaan sentiasa memikul amanah rakyat demi memenuhi aspirasi Kerajaan dalam menghasilkan produk yang berkualiti dan penyampaian perkhidmatan yang terbaik serta mengikut kos dan tempoh yang ditetapkan. Bagi merealisasikan aspirasi Kerajaan, adalah diharapkan kontraktor yang dilantik dapat melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh komitmen dan kesungguhan demi memastikan kejayaan projek ini. Seterusnya penyelenggaraan dan pengoperasian sistem ini dapat memberi manfaat dan keselesaan kepada pengguna (pihak sekolah) dalam mempertingkatkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) khususnya di kawasan luar bandar.