Date: Khamis, March 4, 2021

Bertempat di Mezzanine, Aras M, Blok G, Ibu Pejabat JKR Malaysia pada 3 Mac 2021, telah berlangsung Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima dan Dokumen Kontrak secara 2 dalam 1 kepada pihak kontraktor bagi Projek Pembinaan Bangunan Penyiaran RTM Langkawi.

Sesi Penyerahan Surat Setuju Terima dan Dokumen Kontrak ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Ir. Radzwan Bin Kasim, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan) kepada pihak kontraktor yang berjaya iaitu syarikat Jiwa Tabah Sdn. Bhd. dengan harga kontrak berjumlah RM11,782,967.40. Tarikh Milik Tapak adalah pada 17 Mac 2021 manakala Tarikh Jangka Siap pula pada 16 September 2022 yang mana tempoh kontraknya adalah selama 78 minggu (iaitu 1 tahun 6 bulan).

Reka bentuk bangunan ini adalah secara Konvensional Dalaman iaitu dengan menggunakan kepakaran Arkitek dan Jurutera JKR sendiri. Skop projek adalah seperti berikut :

  1. Membina sebuah bangunan penyiaran baru untuk kegunaan RTM Langkawi;
  2. Bangunan ini akan menempatkan Bahagian Pentadbiran dan Bahagian Teknikal Penyiaran seperti Bilik Studio, Bilik Konti, Bilik Rakaman, Bilik Suntingan dan Bilik Server Radio; dan
  3. Bilik-Bilik Teknikal Penyiaran ini juga akan dilengkapkan dengan rawatan akustik bagi memastikan ianya senyap.

Turut berlangsung adalah penyerahan Surat Pelantikan Pegawai Penguasa kepada Pengarah JKR Negeri Kedah, yang diwakili oleh  YBrs. Tuan Haji Ahmad Lokman bin Saidin.

Semoga kejayaan penyerahan SST beserta Dokumen Kontrak pada hari ini dapat menjadikan JKR lebih efisien selaku agensi pelaksana projek Kerajaan dan seterusnya menjadi norma dalam urusan pelaksanaan projek.  

Berita oleh :
Bahagian Pengurusan Projek 5
Cawangan Kerja Bangunan Am 1