Date: Jumaat, March 12, 2021

Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Pecah Tanah Projek Blok Tambahan Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan (Reka dan Bina) telah berlangsung dengan jayanya pada hari Selasa, 9 Mac 2021 di tapak projek. Majlis telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Eddin Syazlee Bin Shith, Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kuala Pilah dan Yang Berhormat Datuk Aaron Ago Dagang, Timbalan Menteri Kesihatan II.

Majlis diserikan lagi dengan kehadiran YBhg. Dato’ Ir. Haji Mohamad Zulkefly Bin Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya, YB Dato’ Haji Abd Samad Bin Haji Ibrahim, ADUN Kawasan Seri Menanti, YBhg. Datuk Ir. Razdwan Bin Kasim, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar), YBhg. Dato’ Ir. Haji Habbali Bin Ibrahim, Pengarah Kanan Cawangan Kejuruteraan Mekanikal JKR Malaysia, YBrs Ar. IDr. Azman Bin Md. Hashim, Pengarah Cawangan Kerja Kesihatan JKR Malaysia serta Pengarah-Pengarah dari Cawangan Pakar JKR Malaysia. Manakala wakil pihak Kementerian Kesihatan Malaysia yang hadir adalah YBhg. Datin Seri Dr. Asmah Binti Asmat, Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan KKM, YBhg. Datin Dr. Harlina Binti Abdul Rashid, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan dan YBrs Dr. Sarina Binti Sidek, Pengarah Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah.

Majlis dimulakan dengan taklimat ringkas projek oleh Pengarah CKK selaku Pengurus Program Projek kepada dif-dif jemputan sebelum menuju ke pentas utama. Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan aluan yang disampaikan oleh YB Timbalan Menteri Kesihatan II dan ucapan perasmian oleh YB Timbalan Menteri Kerja Raya. Dalam ucapan YB Timbalan Menteri Kerja Raya, beliau mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada semua pihak yang berusaha keras menjayakan pembangunan projek ini dari peringkat perancangan hinggalah memasuki fasa pembinaan projek.

 

Projek Blok Tambahan Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan (Reka Dan Bina) telah diluluskan melalui Rancangan Malaysia Ke-Sebelas (RMK-11) dibawah Rolling Plan Pertama (RP1). Skop utama bagi projek ini melibatkan Pembinaan Blok Bangunan Utama berkapasiti 144 katil yang merangkumi pelbagai jabatan dan kemudahan sepertimana yag telah dinyatakan dalam brif projek serta bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan bertaraf tinggi kepada rakyat khususnya di Kawasan Kuala Pilah. Selain dari komponen utama tersebut, terdapat beberapa lagi komponen sokongan yang melengkapkan pembangunan projek. Tarikh Milik Tapak projek ini adalah pada 10 Mac 2021 dan Tarikh Siap Projek adalah pada 20 Ogos 2024 di mana tempoh pembinaan adalah selama 180 minggu.

 

Majlis diteruskan dengan acara bacaan ikrar dan tandatangan akujanji oleh pihak kontraktor serta penyerahan Surat Setuju Terima (SST) kepada pihak kontraktor dan penyerahan surat perlantikan Pengarah Projek kepada Pengarah Pembinaan Pasukan Projek Khas 1 JKR Malaysia. Kemuncak perasmian adalah acara simbolik pecah tanah menggunakan jentera khas yang telah disempurnakan oleh YB Timbalan Menteri Kerja Raya dengan disaksikan oleh para hadirin yang hadir. Satu sesi sidang media juga turut diadakan oleh YB Timbalan Menteri Kerja Raya dan YB Timbalan Menteri Kesihatan II diakhir majlis.

 

Berita oleh :
Bahagian Pengurusan Projek 4
Cawangan Kerja Kesihatan, IPJKR Malaysia

9 Mac 2021