Date: Isnin, Ogos 22, 2022

Pada tanggal 18 Ogos 2022 (Khamis) bertempat di Ruang Legar Aras 2, Menara Kerja Raya Blok G, Ibu Pejabat JKR Malaysia telah berlangsungnya Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan penyerahan rasmi pelantikan Pegawai Penguasa bagi projek di bawah Cawangan Kerja Bangunan Am 1 (CKBA 1) iaitu PEMBINAAN MAHKAMAH RENDAH SYARIAH DAERAH PAPAR, SABAH.

Majlis ini telah disempurnakan oleh YBrs. Ir. Rahmat bin Haji Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan) dengan penyerahan dokumen Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor yang berjaya iaitu BINTANG KEJORA SDN. BHD. Majlis turut dilengkapi dengan penyerahan surat rasmi pelantikan Pegawai Penguasa kepada Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah yang diwakili oleh YBrs. Tuan Haji Arman bin Haji Muin.

Turut hadir bersama adalah YBrs. En. Ahmad Mukrim bin Mohd Noor, Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, YBrs. Puan Siti Najihah binti Sheikh Ahmad, Bahagian Pembangunan, Jabatan Perdana Menteri dan YBrs. Puan Analiza binti Zakaria, Arkitek Penguasa Kanan, Cawangan Kerja Bangunan Am 1 bersama wakil-wakil HOPT dan HODT yang terlibat.

Projek ini adalah projek di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia selaku pemilik.  Objektif pelaksanaan projek ini adalah untuk memberi keselesaan kepada kakitangan dalam menjalankan tanggungjawab menyelesaikan dan mengadili isu-isu di dalam bidang mahkamah.  Projek yang dilaksanakan secara Konvensional Dalaman ini melibatkan pembangunan kawasan seluas 2.76 ekar di Kampung Benoni, Daerah Papar, Sabah.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada kontraktor yang dilantik dan semoga dapat memberi komitmen sepenuhnya untuk menyiapkan projek dalam tempoh kontrak yang telah ditetapkan.

Alhamdulillah. Diharap kejayaan penyerahan Surat Setuju Terima (SST) ini dapat dijadikan semangat kepada semua pihak dalam urusan pelaksanaan projek yang seterusnya.  Setinggi-tinggi syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pihak yang telah berusaha keras merealisasikan harapan ini.

JKR selaku agensi pelaksana akan memikul amanah yang telah diberikan dengan baik bagi memenuhi aspirasi Kerjaan agar projek ini dapat disiapkan dengan sempurna, berkualiti dengan kos dan tempoh masa seperti mana yang telah ditetapkan di dalam kontrak.