Date: Isnin, Februari 20, 2023

Pada tanggal 16 Februari 2023 (Khamis) bertempat di Ruang Legar Aras 2, Menara Kerja Raya Blok G, Ibu Pejabat JKR Malaysia, telah berlangsungnya Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan penyerahan rasmi Surat Pelantikan Pegawai Penguasa bagi projek PEMBINAAN MAHKAMAH TINGGI SYARIAH DAERAH TAWAU, SABAH (TAWARAN SEMULA) di bawah Cawangan Kerja Bangunan Am 1 (CKBA 1).

Majlis ini telah disempurnakan oleh YBrs. Ir. Rahmat bin Haji Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan) dengan penyerahan dokumen SST kepada kontraktor yang berjaya iaitu HARTAMAS BORNEO SDN. BHD. Majlis turut dilengkapi dengan penyerahan surat rasmi Pelantikan Pegawai Penguasa kepada Pengarah Pasukan Projek Khas 2 (PPK2) iaitu YBrs. Ir. Jasmi bin Wahab.

Turut hadir bersama adalah YBrs. Dato’ Ar. IDr. Azman bin Md. Hashim, Pengarah Kanan, Cawangan Kerja Bangunan Am 1, YBrs. En. Ahmad Mukrim bin Mohd Noor, Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, YBrs. Puan Sharifah Nurshafazillah binti Rosli, Penolong Setiausaha, Jabatan Perdana Menteri dan YBrs. Puan Analiza binti Zakaria, Arkitek Penguasa Kanan, Cawangan Kerja Bangunan Am 1 serta wakil-wakil HOPT dan HODT yang terlibat.

Projek ini adalah projek di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia selaku pemilik. Objektif pelaksanaan projek ini adalah untuk memberi keselesaan kepada kakitangan dalam menjalankan tanggungjawab menyelesaikan dan mengadili isu-isu di dalam bidang mahkamah.  Projek yang dilaksanakan secara Konvensional Perunding ini melibatkan pembangunan kawasan seluas 0.604 hektar di Jalan Utara Tawau, Sabah.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada kontraktor yang dilantik. Semoga dapat memberi komitmen sepenuhnya untuk menyiapkan projek dalam tempoh kontrak yang telah ditetapkan.

Diharap kejayaan penyerahan SST ini dapat memberi semangat kepada semua pihak dalam urusan pelaksanaan projek yang seterusnya.  Setinggi-tinggi syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pihak yang telah berusaha keras merealisasikan harapan ini.

JKR selaku agensi pelaksana akan memikul amanah yang telah diberikan dengan baik bagi memenuhi aspirasi Kerajaan agar projek ini dapat disiapkan dengan sempurna, berkualiti dengan kos dan tempoh masa seperti mana yang telah ditetapkan di dalam kontrak.