Date: Selasa, March 12, 2024

Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST), bagi Pembinaan Kompleks Latihan Tenun Pahang Diraja Di Penjara Penor, Pahang telah diadakan pada hari Rabu, 28 Februari 2024 di Bilik Berlian, Tingkat 1, Menara Kerja Raya, Blok G Jabatan Kerja Raya Malaysia, Kuala Lumpur. Majlis telah disempurnakan oleh Pengarah Cawangan Kerja Keselamatan iaitu YBrs. Ir. Maria Binti Marcus. Majlis turut diserikan dengan kehadiran YBrs. Dato’ Ir. Ts. Hafizah binti Zakaria Pengarah JKR Pahang selaku Pegawai Penguasa Projek. Turut hadir bersama ke majlis ini ialah YBrs. Ir. Lim Keat Eng, Jurutera Awam Penguasa Kanan, Bahagian Pengurusan Projek 3, CKS serta pasukan projek HOPT.

Majlis dimulakan dengan sesi penyerahan Surat Setuju Terima kepada Kontraktor TERAS CITY SDN. BHD dan penyampaian Watikah Pelantikan Pegawai Penguasa kepada YBrs. Dato’ Ir. Ts. Hafizah binti Zakaria Pengarah JKR Pahang. Majlis diteruskan dengan sesi menandatangani Aku Janji Kontraktor dan bacaan Ikrar yang disaksikan oleh YBrs. Ir. Maria Binti Marcus.

Skop Projek adalah melibatkan Pembinaan Blok Penempatan Banduan Berkapasiti 100 orang yang dilengkapkan dengan Ruang Pejabat, Ruang Lobi, Bengkel, Dewan Serbaguna, Bilik Kuliah, Bilik Dokumentasi, Ruang Solat, Dataran Berturap, Stor dan Pusat Kawalan. Ia berfungsi sebagai tempat Penempatan Banduan dan juga Pusat Latihan untuk menghasilkan Tenun DiRaja Pahang. Projek ini telah direkabentuk secara Kovensional Dalaman dan Kaedah Perolehan secara Tender Terbuka.

Tahniah diucapkan kepada kontraktor yang berjaya iaitu TERAS CITY SDN. BHD. dengan tempoh pelaksanaan projek adalah selama 156 minggu. Tarikh milik tapak projek ini pada 13 Mac 2024 dan jangka siap pada 9 Mac 2027.

JKR selaku Agensi Pelaksana akan memikul amanah yang telah diberikan dengan baik bagi memenuhi aspirasi Kerajaan Malaysia Madani agar projek ini dapat disiapkan dengan sempurna, berkualiti dengan kos dan tempoh masa seperti mana yang telah ditetapkan di dalam kontrak.