Date: Jumaat, Oktober 21, 2022

20 Oktober 2022 – Majlis Perasmian Hari ‘Safety and Health, Environment  and Quality’  atau lebih dikenali Hari SHEQ 2022 anjuran CIDB telah dirasmikan  oleh YB Datuk Athur Joseph Kurup selaku Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia. Turut hadir bersama dalam majlis ini ialah YBrs. Sr Amran bin Hj. Mohd Majid, TKPKR (Pakar) , Ybrs. Dato’ Ir Hj Masri bin Baharuddin, Pengarah CDPK  dan juga beberapa Pegawai Kanan JKR yang terlibat.

Hari SHEQ 2022 CIDB diadakan sebagai pengiktirafan kepada penggiat industri yang berjaya meraih pencapaian yang cemerlang dalam pengurusan  keselamatan dan kesihatan, kemampanan alam sekitar dan kualiti dalam sektor pembinaan di Malaysia.

Tahniah diucapkan kepada Pasukan Projek Menara Kerja Raya 2 dan Cawangan Senggara Fasiliti Bangunan yang  mewakili JKR Malaysia atas pencapaian Cemerlang dalam kategori Penarafan Hijau MyCREST untuk bangunan. Sekalung penghargaan juga diucapkan kepada Pasukan Projek yang terdiri dari JKR Perak / Daerah Hilir Perak dan Sunissa Sdn Bhd selaku kontraktor projek Kompleks Sukan Bagan Datuk atas pencapaian Cemerlang  Qlassic.

Semoga pengiktarafan ini akan menjadi pemangkin dan iltizam kepada semua warga kerja JKR Malaysia untuk terus meningkatkan kualiti hasil kerja ke arah yang lebih berdaya saing  dan bertaraf dunia.  Syabas dan teruskan usaha ini.