Date: Selasa, November 28, 2017

Majlis Perasmian Jalan Pintas Rawang Daerah Gombak, Selangor telah berlangsung dengan jayanya pada hari Selasa, 28 November 2017 di tapak projek tersebut.

Majlis telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Menteri Kerja Raya Malaysia dan diiringi oleh Yang Berhormat Dato’ P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan, Timbalan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Hulu Selangor, Yang Berbahagia Dato’ Sri Zohari Bin Haji Akob, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Yang Berbahagia Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya, serta pegawai – pegawai kanan Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya.

Pembinaan Projek Jalan Pintas Rawang ini bermula pada 16 Julai 2005 dan dilaksanakan secara Reka dan Bina oleh Syarikat Panzana Enterprise Sdn. Bhd. Pelaksanaan projek ini adalah secara berperingkat dan melibatkan pembinaan jalan pintas jajaran baru dua lorong dua hala sepanjang 9.0 km serta kerja menaiktaraf Jalan Persekutuan FT001 sepanjang 12.5 km. Demi  pemeliharaan rezab Hutan Kanching yang juga merupakan Taman Warisan Negeri Selangor, jajaran asal ini telah dikaji semula pada tahun 2006 dan diteruskan dengan pembinaan struktur bertingkat (elevated structure) sepanjang 2.7 km bagi mengurangkan penerokaan hutan.

Konsep rekabentuk projek ini adalah mengunakan Movable Scaffolding System (MSS) atau sistem perancah bergerak yang mana pertama kalinya dilaksanakan di Malaysia. Kaedah ini dapat mempercepatkan pembinaan tanpa menjejaskan alam sekitar. Di samping itu, penggunaan tiang berkembar (double column piers) dengan rasuk pengikat (tie-beam) dipilih bagi mengurangkan saiz  tetopi cerucuk dan impak kepada kawasan hutan. Projek ini juga menggunakan kaedah penanaman cerucuk secara Hand-Dug Caisson pile iaitu pengorekan lubang cerucuk menggunakan tenaga manusia bagi mengelakkan pencemaran bunyi serta meminimumkan kesan negatif kepada flora dan fauna di sepanjang jajaran.

Tahniah diucapkan kepada Pasukan JKR terutamanya Cawangan Jalan, Kontraktor dan semua pihak  di atas sokongan, komitmen dan kerjasama padu yang telah diberikan dalam menjayakan projek ini.