Date: Isnin, Oktober 9, 2023

7 Oktober 2023 – Projek Jambatan Bagan Datuk telah dimasyurkan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, pada hari ini.  Jambatan Bagan Datuk kini dikenali sebagai Jambatan Sultan Nazrin Shah.

Hadir semasa majlis perasmian tersebut adalah YAB Dato’ Seri DiRaja Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri; YAB Dato’ Seri Saarani Bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan; YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, YB Menteri Kerja Raya; YBhg. Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam bin Haji Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya; YBhg. Dato' Ir. Hj. Zulkipli bin Hj Nasri, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra) dan YBhg. Dato’ Zahrul Hakim Bin Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha Sektor Dasar dan Pembangunan, Kementerian Kerja Raya Malaysia. Turut hadir memeriahkan majlis adalah Ir. Hj. Sharip Bin Wahijan, Pengarah Pakar Kejuruteraan Jalan & Jambatan, Cawangan Jalan serta semua pegawai-pegawai pasukan projek yang terlibat. 

Projek membina jalan dan jambatan dari Bagan Datuk ke Kampung Sejagop, Perak adalah projek berimpak tinggi yang diilhamkan oleh Ahli Parlimen Bagan Datuk. Projek ini dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan dan dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia.

Projek Jambatan Sultan Nazrin Shah ini adalah mercu tanda kepada Daerah Bagan Datuk yang telah telah diwartakan secara rasminya sebagai daerah ke-12 di Negeri Perak pada 9 Januari 2017. Objektif utama projek ini adalah sebagai akses pengangkutan utama kepada pengguna, dengan masa perjalanan yang lebih singkat dari Kampung Sejagop, Daerah Perak Tengah ke Bagan Datuk. Jajaran projek ini adalah sepanjang 10.5 km dan Jambatan Sultan Nazrin Shah dibina merentasi Sungai Perak.

Laluan  ini juga memberi manfaat kepada pengguna jalan raya yang berulang-alik dari kawasan utara Perak ke Lembah Klang khususnya melalui Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE). Projek ini turut menghubungkan daerah Bagan Datuk dengan bandar-bandar utama seperti Lumut, Manjung, Perak Tengah dan Hilir Perak.

Selain itu, jambatan ini memberi manfaat kepada hampir 70,000 penduduk sekitar termasuk institusi Pendidikan berdekatan seperti Politeknik, MRSM dan Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh. Projek ini juga secara tidak langsung dapat menjana dan merancakkan pembangunan sosio ekonomi penduduk setempat.

Projek Jambatan Sultan Nazrin Shah telah menerima pengiktirafan dalam The Malaysia Book of Records (2023) sebagai Laluan Papak Bertingkat atas Cerucuk yang Terpanjang (Longest Elevated Pile Slab Carriageway) dan Bilangan Titik Cerucuk Terbanyak bagi Laluan Papak Bertingkat atas Cerucuk (Most Pile Points on Elevated Pile Slab Carriageway). Selain itu, projek ini mencatat rekod skor 95% dalam Audit Silang Pelan Pengurusan Trafik (TMP) Projek Cawangan Jalan (2022), pencapaian Empat Bintang dalam Sistem Penilaian Keselamatan dan Kesihatan dalam Pembinaan (SHASSIC) (2020) dan 1,000,000 Jam Kerja Tanpa Kecederaan (2020).

Setinggi- tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Kerja Raya (KKR), Kerajaan Negeri, semua ahli pasukan projek jabatan serta agensi yang terlibat atas usaha gigih dan komitmen dalam menyiapkan projek ini. Jabatan Kerja Raya sentiasa komited untuk memberikan penyampaian perkhidmatan yang optimum demi memacu pembinaan infrastruktur negara, serta memenuhi aspirasi kerajaan dalam menyediakan rangkaian hubungan jalan raya yang berkualiti.

Jambatan Bagan Datuk

Jambatan Bagan Datuk

Jambatan Bagan Datuk

Jambatan Bagan Datuk

Jambatan Bagan Datuk

Jambatan Bagan Datuk

Jambatan Bagan Datuk

Jambatan Bagan Datuk

Jambatan Bagan Datuk

Jambatan Bagan Datuk

Jambatan Bagan Datuk