Date: Rabu, Disember 7, 2016

Majlis perasmian Menara Kerja Raya telah diadakan pada hari Rabu, 7 Disember 2016, bertempat di Kompleks Kerja Raya, Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur. Majlis bermula sekitar jam 4.00 petang,dengan anggaran kehadiran seramai 2000 warga Kerja Raya. Majlis yang dihadiri oleh YB Menteri Kerja Raya,Dato’ Sri Hj Fadillah bin Hj Yusof,  YB Timbalan Menteri Kerja Raya,Datuk Rosnah binti Abdul Rashid Shirlin, YBhg. Dato’ Sri Zohari bin Haji Akob,Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan bin Md. Taha,Ketua Pengarah Kerja Raya, barisan pengurusan tertinggi JKR, Ketua Pengarah LLM, Ketua Eksekutif CIDB dan pengarah-pengarah Cawangan dan Negeri JKR Malaysia. Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran mantan Menteri Kerja Raya; Dato' Seri S. Sami Vellu dan Tan Sri Leo Moggie. Majlis diserikan lagi dengan kehadiran mantan Ketua-ketua Pengarah Kerja Raya.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan disusuli Ucapan Aluan oleh YB Menteri Kerja Raya. Beliau menerangkan tentang ciri-ciri Menara Kerja Raya termasuk teknologi hijau dan beliau berharap JKR akan menjadi peneraju bangunan hijau Kerajaan. Seterusnya Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia telah menyampaikan Ucapan Perasmian. Di antara intipati ucapan beliau adalah, beliau berharap JKR bukan hanya sekadar menjadi Agensi Teknikal tetapi mengambil tempat sebagai Agen Perubahan Negara dengan penggunaan teknologi yang kreatif dan inovatif. Beliau juga telah menyatakan bahawa JKR adalah 'the unsung heroes' dan disambut oleh tepukan gemuruh oleh para hadirin.

Di antara intipati majlis adalah gimik perasmian, upacara menandatangani plak oleh YAB Perdana Menteri, penyampaian sijil Penarafan Hijau GBI kepada YBhg. Dato' Sri Ketua Setiausaha KKR, penyampaian cenderahati berbentuk plak Menara Kerja Raya kepada YAB Perdana Menteri, tayangan montaj Menara Kerja Raya dan persembahan video Building Information Modelling (BIM). YAB Perdana Menteri seterusnya mengadakan lawatan ke Vantage Point di Aras 3, Menara Kerja Raya dan pejabat Menteri Kerja Raya di Aras 35. Majlis diakhiri dengan sesi ramah mesra YAB Perdana Menteri bersama warga Kerja Raya.

Sesungguhnya hari ini, 7 Disember 2016, mencatat satu detik sejarah kepada seluruh warga Kerja Raya di atas perasmian Menara Kerja Raya ini oleh YAB Perdana Menteri.