Date: Sabtu, Jun 24, 2023

RAUB, Pahang – 24 Jun 2023 (Sabtu), Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia selaku agensi teknikal utama negara di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) telah berjaya menyiapkan projek Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) Seksyen 5B: Kg Orang Asli Sg. Chandan Ke Kg. Sg. Asap Dan Sebahagian Seksyen 5A: Persimpangan Krau, Raub.

Majlis perasmian dan pembukaan jalan tersebut telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang bersama-sama YB Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Mohammad, Timbalan Menteri Kerja Raya. Majlis diserikan dengan kehadiran YBhg. Dato' Zahrul Hakim bin Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pengurusan) Kementerian Kerja Raya; YBhg. Datuk Ir. Haji Ahmad Redza bin Ghulam Rasool, Ketua Pengarah Kerja Raya; YBhg. Dato' Ir. Haji Ibrahim bin Esa, Pengarah Kanan Cawangan Jalan dan YB Dato’ Indera Haji Zulkifli bin Haji Yaacob, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang;

Selain itu, Majlis turut dihadiri oleh YBrs Ir. Ts. Hafizah binti Zakaria, Pengarah JKR Negeri Pahang; YBrs. Ir. Rozita binti Mat Senapi, Pengarah Pembinaan Pengurusan Projek Khas Jalan (PPKJ); YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin bin Mohd Ariff, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang,
YH Dato’ Mohammad Shahid bin Ismail; Pegawai Daerah Raub, pegawai-pegawai kanan JKR, serta pasukan projek yang terlibat.

YAB Menteri Besar Pahang dan YB Timbalan Menteri Kerja Raya kedua-duanya telah menzahirkan ucapan terima kasih mereka kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) di atas kejayaan menyiapkan jajaran Seksyen 5B: Kg Orang Asli Sg. Chandan Ke Kg. Sg. Asap yang bakal memberi keselesaan dan penjimatan masa kepada pengguna jalan raya, khususnya buat penduduk di kawasan setempat dan orang awam amnya.

Selain itu, Persimpangan Krau yang berada di dalam sebahagian Seksyen 5A juga telah disiapkan terlebih dahulu bersama-sama Seksyen 5B agar rakyat dapat menerima  manfaat optimum pembukaan pakej terbaharu jajaran LTU ini, terutamanya  di musim perayaan.

YAB Menteri Besar Pahang dan YB Timbalan Menteri Kerja Raya kemudian telah menyempurnakan simbolik perasmian dan pembukaan jalan dengan melepaskan belon helium ke udara.

 

PROJEK LINGKARAN TENGAH UTAMA: PAKEJ 5: SEKSYEN 5B: KG. ORANG ASLI SG. CHANDAN KE KG. ASAP

Projek yang bermula pada 28 Februari 2018 ini telah dilaksanakan secara konvensional perunding. Skop kerja utama adalah:

  1. Pembinaan jalan baru 4 lorong 2 hala sepanjang 16km;
  2. Pembinaan 4 buah jambatan:
    • Jambatan no.1 merentasi Sg. Bilut;
    • Jambatan no.2 merentasi Sg. Melahap;
    • Jambatan no.3 merentasi Sg. Merapoh; dan
    • Jambatan no.4 merentasi Sg. Bilut.

Projek ini telah berjaya disiapkan 21 hari awal dari tempoh kontrak disamping turut  berjaya disiapkan mengikut KPI serahan 3 dalam 1 iaitu:

  1. Sijil Perakuan Siap Kerja (Certificate of Practical Completion, CPC).
  2. Lukisan Siap Bina (As-built Drawing)
  3. Penyata Akaun Muktamad (Statement of Final Account, SOFA).


Jabatan Kerja Raya melalui Kementerian Kerja Raya sentiasa komited untuk memacu pembinaan infrastruktur negara dan memenuhi aspirasi kerajaan bagi menyediakan rangkaian hubungan jalan raya yang optimum dan berkualiti. Adalah diharapkan melalui pembukaan jajaran di Seksyen 5B dan sebahagian Seksyen 5A (Persimpangan Krau) ini memberi manfaat kepada semua pengguna jalan raya, di dalam usaha membangun Malaysia MADANI.