Date: Jumaat, March 8, 2024

RAUB, Pahang – 7 Mac 2024 (Khamis), Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia selaku agensi teknikal utama negara di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) telah berjaya membuka laluan projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 5 Raub ke Bentong, Sebahagian Seksyen 5A: Persimpangan Krau ke Raub ByPass.

Majlis perasmian pembukaan jalan tersebut telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang bersama-sama YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya. Majlis diserikan dengan kehadiran YB Dato’ Sri Haji Zulkifli bin Yaacob, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), YB Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang, YBhg. Dato' Ir. Haji Ibrahim bin Esa, Pengarah Kanan Cawangan Jalan, YBhg. Tuan Mohd Khuzaidi bin Harun, Pegawai Daerah Raub, YBrs. Izamael Zamzuri bin Ismail, Setiausaha Bahagian (Bahagian Pembangunan dan Penswastaan), Kementerian Kerja Raya dan YBrs. Ir. Kamal Afendi bin Desa, Pegawai Penguasa (SO) Projek Seksyen 5A.

Selain itu, majlis turut dihadiri oleh YBrs. Ir. Hanafi bin Abdullah, Jurutera Awam Penguasa Kanan, Bahagian Pengurusan Projek ECER, serta pegawai-pegawai kanan KKR dan JKR serta pasukan projek.

YAB Menteri Besar Pahang dan YB Menteri Kerja Raya kedua-duanya telah menzahirkan ucapan terima kasih mereka kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) di atas kejayaan menyiapkan jajaran Seksyen 5A: Raub ByPass yang bakal memberi keselesaan dan penjimatan masa kepada pengguna jalan raya, khususnya buat penduduk di kawasan setempat dan orang awam amnya.

YAB Menteri Besar Pahang dan YB Menteri Kerja Raya kemudian telah menyempurnakan simbolik perasmian pembukaan jalan tersebut dengan melepaskan belon helium.

Projek yang bermula pada 13 Jun 2019 (Tarikh Milik Tapak) dilaksanakan dengan skop kerja seperti berikut:

  1. Pembinaan jalan baru empat (4) lorong dua hala (dual carriageway) mengikut reka bentuk piawaian JKR R5 sepanjang 9.6 kilometer;
  2. Dua (2) buah persimpangan bertingkat;
  3. Lima (5) buah jambatan;
  4. Tiga (3) buah vehicular box culvert (VBC);dan
  5. Kerja-kerja pemasangan komponen elektrik.

Pembukaan jajaran LTU ini akan memberi manfaat kepada pengguna jalan raya dengan memendekkan masa perjalanan dari Lebuhraya Pantai Timur ke Kuala Lipis, Pahang tanpa perlu melalui Bandar Bentong dan Raub dengan jarak perjalanan sepanjang 45.3 km dengan anggaran penjimatan masa 30 minit.

Jabatan Kerja Raya melalui Kementerian Kerja Raya sentiasa komited untuk memacu pembinaan infrastruktur negara dan memenuhi aspirasi kerajaan bagi menyediakan rangkaian hubungan jalan raya yang berkualiti. Adalah diharapkan melalui pembukaan jajaran di Seksyen 5A ini memberi manfaat kepada semua pengguna jalan raya, di dalam usaha membangun Malaysia MADANI.

LTU

LTU

LTU

LTU