Pada 27 Ogos 2024, JKR Malaysia telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan Majlis Perasmian Penutupan Program Gotong-Royong Perdana Cegah Denggi Tapak Bina Dan Pelancaran Sambutan Wellness Month JKR Malaysia Tahun 2024, di Tapak Projek Pembinaan Sekolah Baharu 20 Bilik Darjah, Asrama Dan Kemudahan-Kemudahan Lain di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.
Satu perasmian penutupan dan pelancaran telah dilaksanakan serta dirasmikan oleh YBhg. Datuk Wira Ir. Roslan Bin Ismail, Ketua Pengarah Kerja Raya bersama–sama YBhg. Dato' Ir. Ts. Haji Masri Bin Baharuddin, Pengarah Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat (CDPK); YBrs. Dr. Mohamad Azfar Bin Zainuddin, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Kawalan Penyakit Bawaan Vektor, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang; YBhg. Dato’ Ir. Ahmad Nadzri Bin Abdul Majid, Pengarah JKR Negeri Pulau Pinang serta YBhg. Dato' Ir. Dr. Balamurugan A/L A. Gopal, Pengarah Cawangan Kerja Pendidikan.
Pelbagai aktiviti telah dan sedang dilaksanakan di seluruh negara untuk mencegah pembiakan nyamuk Aedes terutamanya di tapak–tapak bina di bawah pengurusan projek JKR seluruh Malaysia. JKR selaku agensi teknikal utama negara telah bersama-sama berkecimpung sebagai ahli Pasukan Petugas Khas Denggi Peringkat Kebangsaan sejak dari tahun 2015 lagi. Justeru, sesi libat urus JKR bersama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merupakan satu gerak kerja yang efektif dalam merealisasikan hasrat negara khususnya untuk mengurangkan kes denggi di tapak bina.
Manakala, sambutan Wellness Month pula merupakan satu inisiatif di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), Kementerian Kesihatan Malaysia dalam merealisasikan hasrat Kerajaan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang sihat sejahtera menerusi pembudayaan hidup sihat dengan pendekatan whole of nation. Ini adalah platform terbaik untuk semua pegawai JKR bersama komuniti mengambil peluang bagi membentuk gaya hidup sihat serta menerapkan amalan yang menjadikan persekitaran sihat sebagai budaya di tempat kerja masing-masing.
Semoga menerusi program ini dapat menjayakan matlamat sifar kes denggi bagi tapak bina projek-projek JKR Malaysia. Adalah diharapkan juga program ini dapat menyuntik semangat berpasukan dikalangan pegawai JKR dan kontraktor untuk bersama-sama komuniti dalam membudayakan amalan dan gaya hidup sihat.
JKR Malaysia ingin mengucapkan tahniah dan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur iaitu Bahagian Pengurusan Kualiti, Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat dan JKR Negeri Pulau Pinang termasuk pasukan kontraktor yang terlibat atas komitmen dan kerjasama erat dalam menjayakan program kali ini.
- 535 bacaan