Date: Khamis, September 1, 2016
Majlis Perjumpaan Ketua Pengarah, YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan bin Md. Taha Bersama Warga Jabatan Kerja Raya ini telah diadakan pada 1 September 2016, jam 8.30 pagi bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz. Khalid. YBhg. Dato’ Sri KPKR hadir tepat jam 8.30 pagi, diiringi oleh YBhg. Dato’ Ir. Haji Mohd Fazli bin Osman, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pakar), YBhg. Dato' Dr. Meor Ab Aziz bin Hj.Osman, Pengarah Kanan,Cawangan Jalan, YBhg. Dato’ Ir. Haji Mohd Jamal bin Sulaiman, dan Pengarah-pengarah Cawangan dan Bahagian.
 
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu NegaraKu dan Jalur Gemilang sempena sambutan bulan kemerdekaan, diikuti bacaan ikrar perkhidmatan awam yang diketuai oleh YBrs. Ir. Hj. Badioezaman bin Ab. Khalik, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Sekretariat. Majlis diteruskan dengan perutusan amanat daripada YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan bin Md. Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya.
 
Antara intipati amanat oleh YBhg. Dato’ Sri Ketua Pengarah adalah:
 
• Dalam usaha melestarikan kecekapan tenaga, warga kerja JKR diminta saling bekerjasama dalam mengamalkan dan menerapkan budaya penjimatan tenaga sejajar dengan saranan kerajaan.
• Warga kerja JKR juga perlu bersama-sama menjaga kebersihan pejabat selaras dengan pembudayaan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) yang menjadi amalan di setiap jabatan kerajaan.
• Setiap pelaksanaan tugas dan kerja yang dipertanggungjawabkan wajib mematuhi SOP yang telah ditetapkan, mendokumentasikan segala proses kerja dan sebaik-baiknya setiap keputusan atau tindakan yang diputuskan seharusnya dibuat dalam bentuk jawatankuasa.
• Mensasarkan Indeks Akauntabiliti jabatan pada tahun ini mencapai lima bintang.
• Centre of Excellence for Engineering and Technology (CREaTE), mula beroperasi pada hari ini, 1 September 2016. CREaTE akan berperanan sebagai production house dalam mengurus dan menyelaras latihan kepada warga JKR. Perlu fully utilized CREaTE dalam meningkatkan dan memantapkan lagi kepakaran dan kompetensi setiap warga.
• Warga kerja JKR perlu terapkan sense of urgency dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan. Melaksanakan tugas adalah satu kewajipan dan amanah yang perlu digalas.
• Sebanyak 15 saluran aduan awam JKR sedia ada perlu dibuat hebahan kepada orang awam dan harus digunakan sebaik mungkin.
Semoga amanat yang disampaikan oleh YBhg. Dato’ Sri KPKR menjadi aspirasi kepada warga JKR dalam usaha penjenamaan semula Jabatan.