Date: Jumaat, Disember 6, 2024

Sepertimana kita sedia maklum, negara sedang mengalami Musim Monsun Timur Laut dan pada masa kini, tujuh (7) negeri terjejas akibat bencana banjir di Semenanjung Malaysia. Negeri-negeri yang terjejas teruk adalah negeri pantai timur Semenanjung iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang manakala di utara Semenanjung melibatkan negeri Perak dan Kedah.  Dalam masa sama, negeri Johor dan Melaka turut terkesan dengan bencana banjir. 

Melihat kepada situasi mangsa-mangsa yang terjejas teruk ekoran bencana banjir, seluruh warga JKR berasa simpati dan sedih atas apa yang berlaku. Susulan daripada itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia melalui inisiatif #JKRPrihatin telah melaksanakan kutipan sumbangan dari kalangan warga JKR bagi membantu penduduk yang terkesan akibat kejadian banjir tersebut. Kutipan bagi sumbangan ini digunakan bagi tujuan pembelian barangan keperluan asas makanan dan juga barang-barang keperluan lain.

JKR Prihatin ini juga sejajar dengan ‘Skuad Ihsan MADANI’ yang dijenamakan semula bagi operasi menyelamat, penghantaran bantuan, penyediaan Pusat Penempatan Sementara (PPS) dan juga tenaga kerja di tahap yang optimum. Penggunaan jenama ini mencerminkan hasrat nilai MADANI yang berteraskan ‘Ihsan’. Sehubungan dengan itu, Skuad Ihsan Madani - JKR Prihatin telah digerakkan bagi misi bantuan banjir.

Justeru itu, Majlis Solat Hajat Misi Banjir JKR Prihatin 2024/2025 ‘Skuad Ihsan Madani’ telah diadakan pada 6 Disember 2024 hari Jumaat bertempat di Surau Aras 3, Menara Kerja Raya yang dihadiri oleh Pengurusan Tertinggi, barisan kepimpinan Pengurusan JKR dan warga JKR. Selesai Solat Hajat, penyerahan sumbangan dan pelepasan konvoi Skuad Ihsan Madani - JKR Prihatin oleh YBhg. Datuk Wira Ir. Roslan bin Ismail, Ketua Pengarah Kerja Raya dan barisan kepimpinan Pengurusan JKR mewakili jabatan.  

Misi konvoi Skuad Ihsan MADANI – JKR Prihatin adalah menyerahkan sumbangan barangan keperluan asas makanan kepada mangsa-mangsa bencana dan menyediakan khidmat pakar elektrikal dan mekanikal serta lain-lain bantuan yang diperlukan.

Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua yang membantu, menyumbang wang ringgit dan tenaga serta menjayakan misi ini.

Pautan koleksi gambar: https://drive.google.com/drive/folders/1SO6b3wOwUGebw_je4M_JfeX4p3rKQlcV?usp=drive_link (link is external)

#IamJKR #KitaJKR #JKRsynergy
#JasaKepadaRakyat