Date: Selasa, Ogos 1, 2023

Majlis penyerahan dua projek siap bagi Projek Membina dan Menyiapkan Jeti Baru dan Lain-Lain Kerja Yang Berkaitan di Gua Langsir, Kilim Karst Geoforest Park, Mukim Ayer Hangat, Langkawi dan Projek Meroboh dan Membina Semula Kemudahan Jeti Pendaratan Pelancongan di Teluk Mempelam, Pulau Langgun, Langkawi, Kedah telah berlangsung dengan jayanya pada 30 Julai 2023 (Ahad) bertempat di Geopark Discovery Centre, Langkawi. Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBrs. Ir. Ts. Khairul Azlan bin Abdullah, Jurutera Daerah JKR Langkawi selaku Pegawai Penguasa kepada YBrs. Tuan Ahmad Fuad bin Che Ani @ Abd Ghani, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif  Sektor Pengurusan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA). Majlis bertambah seri dengan kehadiran YBrs Ir. Waznah binti Abdul Aziz, Pengarah Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan (CKIP), YBrs. Ir. Hajjah Atikah binti Zakaria @ Ya, Pengarah Bahagian Pengurusan Projek Kompleks, Cawangan Perancangan Aset Bersepadu dan YBrs. Ir. Mohd Fisal bin Ismail, Pengarah JKR Negeri Kedah.

Pelaksanaan projek ini adalah secara Konvensional Dalaman di mana Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan telah dilantik sebagai Pengurus Program. Pembinaan projek ini telah dipertanggungjawabkan kepada Jurutera Daerah JKR Langkawi selaku Pegawai Penguasa dan Jurutera Bangunan JKR Langkawi selaku Wakil Pegawai Penguasa Utama. Bagi Projek Jeti Gua Langsir, syarikat NRY Enterprise telah dilantik sebagai kontraktor utama dengan kos kontrak asal. Projek ini telah dimulakan pada 3 November 2021 dan mendapat Perakuan Siap Kerja (CPC) pada 30 Mei 2023.Projek ini telah berjaya disiapkan lebih awal, iaitu sebanyak 2 hari daripada tarikh siap semasa. Bagi Projek Jeti Teluk Mempelam pula, syarikat SP Multibina Sdn. Bhd. telah dilantik sebagai kontraktor utama dengan kos kontrak asal. Projek ini telah telah dimulakan pada 19 November 2020 dan mendapat Perakuan Siap Kerja (CPC) pada 27 Jun 2023.

Dalam usaha pihak JKR memberikan produk akhir kepada pelanggan, penambahbaikan dalam pengurusan projek sentiasa diberi penekanan dan perhatian yang khusus. JKR sentiasa berusaha dalam memenuhi keberkesanan pengurusan projek dengan menambahbaik pencapaian agar projek yang dilaksanakan JKR dapat disiapkan memenuhi kriteria 3 dalam 1 iaitu ;

  1. Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC);
  2. Penyata Akaun Muktamad (SOFA);
  3. Lukisan Siap Bina

Disamping nilai tambah yang lain iaitu :

  1. Operation & Manual (O & M);
  2. Projek berjaya disiapkan lebih awal tarikh Siap Semasa (2 hari awal) bagi Projek Jeti Gua Langsir.
  3. Penjimatan daripada kos kontrak asal;
  4. Zero Major Defects dan
  5. Zero Lost Time Injuries (LTI);

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Jurutera Daerah JKR Langkawi selaku Pegawai Penguasa, Jurutera Bangunan JKR Langkawi selaku Wakil Pegawai Penguasa Utama, Bahagian Arkitek JKR Kedah dan Cawangan Kejuruteraan Elektrik Kedah selaku Wakil Pegawai Penguasa Pakar dengan kerjasama dan ‎sokongan yang sangat baik daripada Pasukan HOPT dan HODT iaitu Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan. Ucapan ribuan terima kasih yang tidak terhingga juga kepada pihak pelanggan iaitu Kementerian Kewangan Malaysia dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) serta kepada semua yang telah menjayakan perlaksanaan projek ini.