Date: Selasa, Jun 25, 2019

Mesyuarat Jurutera Awam bagi tahun 2019 yang bertemakan “Jurutera Awam Pemacu Infrastruktur Negara” telah berlangsung dengan jayanya pada 23 - 26 Jun 2019 bertempat di Hotel Movenpick And Convention Centre, Sepang, Selangor Darul Ehsan. Program yang berlangsung selama tiga (3) hari ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato' Ir. Dr. Meor Abdul Aziz Osman, Ketua Pengarah Kerja Raya dan turut dihadiri oleh pegawai -pegawai kanan JKR, Ibu Pejabat dan Negeri.

Penganjuran kali ke sepuluh (10) ini merupakan penganjuran bersama oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun dan Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor. Program ini yang telah dihadiri oleh 252 orang peserta terdiri daripada warga Jurutera Awam, Jabatan Kerja Raya meliputi Ibu Pejabat, Negeri, Wilayah dan Daerah. Majlis perasmian dimulakan dengan ucapan aluan oleh Timbalan Ketua Dispilin Awam, YBrs. Ir. Hj. Mohd Noor Azudin Hj. Mansor dan seterusnya ucapan perasmian Mesyuarat Jurutera Awam tahun 2019 oleh Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato’ Ir. Dr. Meor Abdul Aziz Osman.


Mesyuarat Jurutera Awam kali ini dimeriahkan lagi dengan pembukaan gimik perasmian menggunakan ‘sand art’ dan persembahan video montaj yang menarik dan berinformasi khususnya kepada jurutera awam. Majlis diteruskan dengan pembentangan Hasil Kerja 2018 oleh YBrs. Ir. Ahmad Nadzri Abdul Majid (Ketua Urusetia Displin Awam), sesi bergambar dan disusuli dengan perasmian dan lawatan ke pameran kejuruteraan oleh YBhg. Dato' Ir. Dr. Meor Abdul Aziz Osman.

Ucaptama/ Keynote Address telah disampaikan oleh Dato’ Sri Zohari Haji Akob, Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (Mantan KSU KKR) bertajuk AP182: Redefining the Role of JKR. Antara intipati yang dibentangkan adalah berhubung model berpusat di JKR yang telah wujud. Norma kerja secara silos perlu dielakkan dan perlu membina kemahiran dalam penyampaian projek. Kerjasama dan kolaborasi perlu diwujudkan bagi meningkatkan inovasi secara berterusan.

Majlis diteruskan dengan sesi pembentangan Kertas Kerja yang pertama oleh Dr. Khamarrul Azahari Pensyarah Kanan, Universiti Teknologi Malaysia mengenai Disaster Risk Reduction's Global Vision, National Commitment and Local Agenda : Status, Challenges and Future Directions. Antara maklumat yang disampaikan adalah berhubung pengurangan risiko bencana, peranan dan sumbangan penting oleh Jurutera Awam dalam menilai risiko bencana, memperkukuh tadbir urus risiko, melabur dalam DRR untuk daya tahan dan meningkatkan kesiapsiagaan bencana.

Kertas Kerja yang kedua dibentangkan oleh Encik Abdul Rahman Abdul Aziz mengenai Projek Rawang By Pass - Preserving The Hopea Subalata. Projek pembinaan Rawang Bypass telah dilaksanakan oleh Cawangan Jalan, JKR Malaysia bermula pada 16 Julai 2005 dan siap pada 21 November 2017 yang melibatkan kos sebanyak RM 628 juta. Jajaran projek ini memendekkan masa perjalanan dari Serendah ke Kuala Lumpur serta memberi impak dalam membantu dan mengurangkan trafik di bandar Rawang. Disamping itu projek ini menekankan pemeliharaan flora dan fauna semulajadi di kawasan Hutan Simpan Kanching.

Kertas kerja yang ke-3 oleh Ir. Dr. Hannerita Mohd. Zainal adalah mengenai Iktibar Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2017 Siri 1 dan Siri 2. Dengan pendedahan ini Jurutera Awam JKR akan lebih kompeten dalam memantau projek agar tiada (zero) teguran dari LKAN dan terhindar dari tindakan tatatertib. Sesi pembentangan kertas kerja berakhir sekitar jam 5 petang dengan sesi soal jawab oleh para peserta dan pembentang kertas kerja.

Sesi sebelah malam diteruskan dengan para peserta diraikan dengan majlis makan malam bersama wakil Menteri Besar Selangor. Para peserta dan tetamu kehormat dapat menjamu selera sambil beramah mesra antara satu sama lain.