Pada 1-4 Julai 2024 (Isnin-Khamis) telah berlangsungnya Mesyuarat Koordinasi bersama Unit Tentera Negeri (UTN) di seluruh malaysia dan Majlis Libat Urus bersama pelanggan Markas Tentera Darat (MTD), Markas Tentera Udara (MTU), Markas Tentera Laut (MTL) & Markas Bantuan Bersama bil.2/2024. Mesyuarat dan Majlis libat urus tersebut telah diadakan di Bilik Mesyuarat Bayu Balau Beach Resort, Desaru, Kota Tinggi, Johor.
Penganjuran Majlis Libat Urus dan Mesyuarat Koordinasi ini merupakan agenda penting untuk membentangkan status kemajuan kerja, prestasi perbelanjaan seterusnya mendapatkan maklumbalas pihak Pelanggan dan JKR Unit Tentera Negeri (UTN) serta berbincang mengenai isu-isu yang berkaitan dengan penyenggaraan kem-kem di bawah seliaan JKR. Program Libat Urus bersama Pelanggan (MINDEF) merupakan salah satu aktiviti wajib di dalam takwim tahunan JKR Bahagian Fasiliti Bangunan Tentera (BFBT), Cawangan Senggara Fasiliti Bangunan (CSFB).
Mesyuarat ini menghimpunkan 3 pihak utama yang terlibat secara langsung dengan penyenggaraan kem-kem tentera iaitu pihak pelanggan, JKR UTN dan JKR BFBT,CSFB. Peluang sebegini perlu digunakan sebaik mungkin bagi membincangkan sebarang permasalahan ataupun perkongsian maklumat untuk kebaikan bersama.
Turut hadir bersama adalah Pengarah, Cawangan Senggara Fasiliti Bangunan (CSFB) Ir. Ahmad Shahruzi bin Ahmad merangkap pengerusi mesyuarat; Ir. Waki’ bin Mohamad, Jurutera Mekanikal Penguasa Kanan, Bahagian Fasiliti Bangunan Tentera (BFBT); En. Wan Muzaffar Shah bin Wan Munsif, Bahagian Pembangunan (MINDEF) ; Kol. Mohd Hanapiah bin Harun, Markas Tentera Darat Malaysia (MTD); Kdr. Mohd Khamarulzaim bin Halib @ Khalid, TLDM, Markas Tentera Laut (MTL); Mej. Shahizan bin Ahmad, Markas Tentera Udara (MTU) dan semua ketua Unit Tentera Negeri (UTN).
Bahagian Fasiliti Bangunan Tentera (BFBT), Cawangan Senggara Fasiliti Bangunan (CSFB) selaku agensi pelaksana telah dipertanggungjawab dan diamanahkan bagi memenuhi aspirasi Kementerian Pelanggan (MINDEF) dalam menyempurnakan kerja-kerja senggaraan yang berkualiti dangan kos dan tempoh masa seperti yang telah ditetapkan dalam kontrak.
- 1404 bacaan