Date: Rabu, Mei 24, 2017

Mesyuarat Pegawai Kanan JKR Malaysia (SOC) Tahun 2017 bertemakan 'together we deliver' telah diadakan pada 22-24 Mei 2017 bertempat di Kuantan, Pahang. Tema ini sejajar dengan saranan YAB Perdana Menteri yang telah menyatakan tahun 2017 sebagai “Tahun Penyampaian”. Mesyuarat ini bermula pada 22 sehingga 24 Mei 2017 dan melibatkan penyertaan seramai 400 orang pegawai-pegawai kanan JKR yang terdiri daripada Pengarah-Pengarah Cawangan dan Negeri, Jurutera-Jurutera Daerah dan Pegawai-Pegawai Kader dari seluruh negara.

Objektif utama penganjuran mesyuarat tahunan ini adalah untuk mendengar mandat dan hala tuju kepimpinan, sebagai ruang intelek dan diskusi yang aktif dan proaktif, percambahan minda, perkongsian ilmu dan pengalaman, serta sebagai platform kepada pegawai-pegawai JKR untuk saling bertukar buah fikiran dan pandangan serta mencetus ide-ide baru lagi inovatif dalam usaha meningkatkan tahap profesionalisme demi mencapai kecemerlangan penyampaian jabatan.

HARI PERTAMA / 22 MEI 2017

Mesyuarat ini dimulakan dengan pembentangan kertas Transformasi Nasional 2050 (TN50); Membina Masa Depan Bersama oleh Encik Effendi bin Razali, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Rakan Muda, Kementerian Belia dan Sukan, disusuli dengan sesi interaksi peserta bersama moderator dan penceramah.

Majlis Perasmian SOC dimulakan dengan ucapan welcoming oleh Pengarah JKR Pahang iaitu YBhg. Dato’ Ir. Hj. Abdul Jalil bin Hj. Mohamed selaku tuan rumah mesyuarat pada kali ini, disusuli dengan ucapan aluan oleh YBhg.Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya, manakala ucapan perasmian disempurnakan oleh YB Dato' Sri Hj. Fadillah bin Hj. Yusof, Menteri Kerja Raya. Antara intipati ucapan YB Menteri adalah:

  1. Pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Tahun 2016 dan 2017
  2. Projek Berkeutamaan Dalam RMKE-11
  3. Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP)
  4. Peranan CREaTE dalam usaha memantapkan modal insan dengan memperkukuhkan Subject Matter Experts (SME)

Anugerah JKR Malaysia 2017 telah disampaikan oleh YB Menteri Kerja Raya kepada kontraktor cemerlang. Berikut adalah senarai pemenang Anugerah JKR Malaysia:

Majlis diteruskan dengan Pelancaran Baju Korporat dan Tali Leher Baru JKR serta Penyerahan Baju Korporat Baru daripada YBhg. Dato' Sri KPKR kepada YB Menteri, YB Timbalan Menteri dan YBhg. DS KSU. Sidang Media juga diadakan sebelum acara Perasmian dan Lawatan Pameran oleh YB Menteri. Pada sebelah petang majlis diteruskan dengan Ucaptama oleh YBhg. Dato’ Sri KPKR dan seterusnya pelancaran i. Green Mission 2.0; ii. Road Material Approved List & Arahan Teknik Jalan;dan iii. J-nilai, E-Rasmi dan SKALA Mobile.

Majlis hari pertama berakhir dengan sesi pembentangan kertas kerja 2, iaitu “Green Technology Master Plan” oleh YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini bin Ujang, Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

HARI KEDUA / 23 MEI 2017

Mesyuarat dimulakan dengan Pembentangan Minit Mesyuarat SOC 2016 yang dibentangkan oleh YBrs. Encik Norhaimi bin Mohd Noor, wakil Jawatankuasa Repertoire 2016 dan bersambung dengan sesi interaksi santai di antara YBhg. Dato' Sri KPKR bersama peserta SOC 2017. Mesyuarat diteruskan dengan pembentangan kertas bertajuk "Jalan Persekutuan, Harapan Kepada JKR" oleh YBhg. Dato' Embok Masek bin Md. Taher, Setiausaha Bahagian Pembangunan dan Penswastaan, KKR. Usai pembentangan tersebut, mesyuarat bersambung dengan perkongsian pengalaman oleh YBrs. Ir. Alias bin Mohd Zin, dari JKR Batu Pahat menceritakan pengalaman beliau menyiapkan projek, from sakit to success; Jalan Mukim 6 Linau ke Mukim 7 Tg. Semberong, Batu Pahat, Johor. Mesyuarat diteruskan dengan pembentangan kertas kerja oleh YBrs. Dr. Mohd Sabere bin Sulaiman, Arkitek Kanan, Caw. Arkitek bertajuk "Significance of Building Conservation Projects in JKR : Issues, Challenges and Way Forward".

Majlis penutup Mesyuarat Pegawai Kanan JKR 2017 dimulakan dengan sesi tazkirah oleh YBrs. Ustaz Hamdan Yusi bin Yusof, dari Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) bertajuk "Bicara Hati Berintegriti". Mesyuarat diteruskan dengan pembentangan kertas kerja terakhir iaitu "Isu Rasuah dan Salahguna Kuasa di Sektor Pembangunan Pembinaan dan Fasiliti Awam" oleh YBrs. Encik Mohd Fuad Bee bin Basrah Bee dari Unit Integriti, KKR (Kader SPRM). Seterusnya YBhg. Dato' Sri KPKR meluangkan masa melawat gerai-gerai Pameran Industri Pembinaan 2017 yang disertai oleh pelbagai agensi jabatan kerajaan dan swasta. Majlis diteruskan dengan sesi interaksi pengurusan atasan bersama peserta SOC 2017 dan berakhir dengan penyampaian watikah daripada YBhg. Dato' Sri KPKR kepada tuan rumah SOC 2018 iaitu JKR Negeri Kedah.

HARI KETIGA / 24 MEI 2017

Pengisian aktiviti luar iaitu Lawatan Teknikal ke beberapa tempat sepertimana berikut ;

  • Kilang Volkswagen
  • Kilang Kereta Perisai (DEFTECH Sdn. Bhd.)
  • Pengkalan TUDM, Kem Batu 10, Kuantan
  • Projek Pembinaan Jambatan Baru Tg. Lumpur, Kuantan

JKR Malaysia mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pemenang Anugerah JKR Malaysia 2017 dan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada tuan rumah JKR Negeri Pahang di atas penganjuran Mesyuarat SOC 2017. Terima kasih juga kepada semua warga JKR yang terlibat dalam mesyuarat kali ini. Semoga komitmen dan usaha warga kerja JKR Malaysia dalam memartabatkan jabatan ke peringkat yang lebih tinggi adalah berterusan.