Date: Isnin, Februari 7, 2022

Umumnya, prestasi cemerlang adalah indikator yang jelas menggambarkan pencapaian atau performance bagi sesebuah organisasi.    Kecekapan, ketangkasan, kemuafakatan dan profesionalisme seluruh warga kerja JKR akan menghasilkan pembudayaan iltizam perjuangan yang unggul dalam mendepani realiti ekspektasi yang dinamik.

Prinsipnya, prestasi akan memberikan maklum balas atau refleksi mengenai keupayaan organisasi dalam mencapai nilai keberhasilan untuk pelanggan dan organisasi. Secara tidak langsung, ia juga menunjukkan langkah-langkah korektif yang diperlukan dalam memperbaiki isu-isu ketidakcapaian berorientasikan ledakan informatif ideologi pintar.

Sehubungan dengan itu, pada 1 Disember 2021 yang lalu Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) telah mengadakan sesi taklimat kepada semua Kementerian, Agensi Pusat dan Jabatan Utama mengenai Pelaksanaan Malaysian Government Performance Index (MyGPI) Tahun 2022. Berdasarkan penerangan oleh pihak MAMPU, MyGPI merupakan program penilaian yang akan menggantikan Sistem Star Rating (SSR). Rasionalnya, mekanisme pengukuran prestasi sektor awam yang baharu iaitu MyGPI dibangunkan lanjutan daripada prestasi pencapaian SSR bagi agensi sektor awam yang telah mencapai tahap matang. Sebanyak 40 daripada 60 agensi telah berjaya mencapai penarafan 5 bintang pada tahun 2017 iaitu tahun terakhir pelaksanaan SSR.

Selaras dengan dapatan tersebut, MAMPU telah membangunkan MyGPI supaya selari dengan aspirasi dan hala tuju kerajaan. Penilaian MyGPI adalah berdasarkan keterangkuman aspek-aspek seperti berikut:

i.   Aspirasi di peringkat global seperti United Nations Sustainable Development Goals, Global Competitiveness Index, E-Government Development Index dan World Happiness Index;

ii.   Aspirasi di peringkat nasional seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Rancangan Malaysia Ke-12, Malaysia Digital Economy Blueprint (MyDIGITAL), Dasar 4IR Negara, Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021-2025 dan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023;

iii.  Dua (2) dimensi penilaian diwujudkan melalui MyGPI iaitu Dimensi Pengurusan Organisasi dan Dimensi Pendigitalan Perkhidmatan;

iv.  Pengukuran prestasi sektor awam berdasarkan keberkesanan, kecekapan dan penyampaian perkhidmatan yang berpaksikan rakyat (citizen-centric) melalui tadbir urus yang baik seperti kepimpinan, integriti, ketelusan, inklusif, pematuhan dan responsif; dan

v.  Platform penilaian secara atas talian menggunakan aplikasi MyGPI.

Justeru, satu majlis ringkas telah diadakan sebagai simbolik pelancaran Malaysian Government Performance Index (MyGPI) Peringkat JKR Malaysia yang telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Haji Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya pada 7 Februari 2022 (Isnin) bertempat di Bilik Mesyuarat Berlian, Blok G, Menara Kerja Raya, Kuala Lumpur. Majlis pelancaran ini telah dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Perubahan dan Prestasi (BPPP), CDPK yang diterajui oleh Ketua Bahagian, YBrs. Ir. Ts. Dr. Haji Zarabizan Bin Haji Zakaria selaku Ketua Sekretariat Pelan Bisnes CDPK.

Pelancaran disempurnakan oleh YBhg. Datuk KPKR melalui agenda pemotongan riben pada bunting yang disediakan. Majlis pelancaran ini hanya dihadiri oleh Ahli Jawatankuasa Penyelaras MyGPI Tahun 2022 yang telah dilantik oleh YBhg. Datuk KPKR.

Semoga pelancaran ini akan mencetuskan revolusi kemuafakatan dan cetusan harapan yang menjadi agenda budaya kerja yang tersusun dan sempurna di setiap peringkat jabatan ke arah pencapaian sasaran MyGPI pada tahap yang membanggakan. Transformasi dan daya upaya kesepaduan melalui inisiatif-inisiatif pragmatik adalah resepi kejayaan yang mampu melonjakkan imej dan kredibiliti agensi teknikal terulung di negara ini.