Date: Khamis, Disember 7, 2023

PELANCARAN MANUAL PELAKSANAAN EKSA IBU PEJABAT JKR MALAYSIA EDISI KETIGA DAN MANUAL  PELAKSANAAN EKSA KENDIRI EDISI PERTAMA

Majlis Pelancaran Manual Pelaksanaan EKSA Ibu Pejabat JKR Malaysia Edisi Ketiga dan Manual Pelaksanaan EKSA Kendiri Edisi Pertama keluaran Tahun 2024 telah berlangsung dengan jayanya semasa Mesyuarat Pengarah (MP) JKR Malaysia Bil 4/2023 pada 7 Disember 2023 di Bilik Mesyuarat Berlian, Menara Kerja Raya Ibu Pejabat JKR Malaysia. Pelancaran ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Ir. Ahmad Redza Bin Ghulam Rasool, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia.

Manual Pelaksanaan EKSA Ibu Pejabat JKR Malaysia Edisi Ketiga yang telah dikemaskini dan ditambahbaik dengan keperluan semasa bagi menggantikan Edisi keluaran Tahun 2021 khususnya sebagai rujukan warga Ibu Pejabat JKR Malaysia. Manakala Manual Pelaksanaan EKSA Kendiri Edisi Pertama yang julung kalinya dikeluarkan sebagai rujukan khususnya kepada semua pejabat seliaan Ibu Pejabat JKR Malaysia yang melibatkan JKR Negeri, JKR Daerah, JKR KESEDAR, JKR KETENGAH, CKE dan CKM Negeri.

Kedua-dua Manual ini telah dimuatnaik di atas talian melalui Portal J-Pedia oleh Bahagian Pengurusan Kualiti, Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat selaku Urus Setia Induk EKSA JKR Malaysia sebagai rujukan kepada semua warga JKR.

Majlis diteruskan dengan sesi penyampaian sijil EKSA Kendiri kepada Ir. Mohd Shahrom bin Ahmad Saman, Pengarah Kanan CREaTE yang menerima pengiktirafan EKSA Kendiri dengan kategori ‘Cemerlang’ bagi tempoh dua (2) tahun  dan merupakan pensijilan kelima dalam kategori ini.

Syabas dan Tahniah kepada semua warga JKR khususnya Urus Setia Induk EKSA JKR Malaysia yang berjaya dalam memperkasakan pelaksanaan EKSA secara menyeluruh ke setiap agensi seliaannya bagi memastikan budaya kelastarian kecemerlangan EKSA dapat diamalkan secara konsisten sekaligus menyumbang kepada skor Penarafan Malaysian Government Performance Index (MyGPI) pada masa hadapan.