Date: Jumaat, Oktober 28, 2022

7th Regional Conference for Africa & PIARC International Seminar on Rural Roads and Road Safety telah dianjurkan bersama oleh South African Road Federation (SARF), International Road Federation (IRF) dan World Road Association (PIARC) pada 18-20 Oktober 2022 di Cape Town, South Africa.

Persidangan kali ini dengan tema Connecting Africa through Smart, Safe and Resilient Roads: Stimulating Growth and Trade on the Continent telah disertai pakar jalan raya terkemuka serta pembuat keputusan bagi membincangkan penyelesaian dalam menambah baik rangkaian jalan raya, khususnya di Afrika. PIARC juga turut menganjurkan dua seminar pakar bertajuk Safe and Efficient Transport by Road dan The Role of Low Volume Roads in Rural Connectivity bersempena persidangan tersebut.

Dr. Azwan Ezzany bin Azmi, Jurutera Awam Penguasa di Cawangan Senggara Fasiliti Jalan telah dijemput untuk menyampaikan kertas kerja secara maya bertajuk Managing Safety Aspects of Rural Roads pada hari ketiga persidangan di bawah tema Road Safety & Rural Roads - Innovation For Road Safety In Rural Areas. Kertas kerja ini bertujuan untuk mengkaji potensi bagi mengintegrasi model pengurusan aset jalan dan model pengurusan keselamatan jalan di Malaysia. Berdasarkan kajian rintis International Road Assessment Programme (iRAP), kerangka integrasi kedua-dua model ini dibangunkan sebagai alat  pembuat keputusan bagi menambahbaik jalan-jalan luar bandar berpandukan kepada sistem Star Rating iRAP.

Dr. Azwan Ezzany turut dijemput sebagai panel dalam sesi Panel Discussion 2 bertajuk Road Safety And Rural Roads - Future For Safe Mobility In Rural Areas yang dipengerusikan oleh Presiden PIARC, Nazir Alli sendiri bersama-sama panel-panel pakar keselamatan jalan PIARC iaitu Souleman Oussiman (Burkina Faso), Przemysław Padło (Poland) dan Dr Herman Joubert (South Africa).

Dr. Azwan Ezzany telah membangkitkan 4 perkara yang perlu diberi perhatian oleh semua penggiat industri jalan raya iaitu:

  • Pertama, perancangan pembangunan jalan raya dan keselamatan jalan perlu dilihat dari perspektif strategik berdasarkan analisis peringkat keseluruhan rangkaian. Ianya memerlukan usaha yang digerakkan oleh badan utama yang mengawalselia jaringan jalan raya di peringkat dan negara masing-masing.
  • Kedua, mobiliti dan aksesibiliti jalan luar bandar memerlukan pelaburan jangka panjang. Sistem sokongan seperti HDM4 dan RONET dapat berfungsi sebagai alat  pembuat keputusan dalam mengukur faedah sesuatu pelaburan. Sistem sokongan ini boleh membantu jurutera untuk meyakinkan agensi pusat dan pengurus dana.
  • Ketiga, kepentingan untuk melaksanakan Road Safety Assessment bagi menilai tahap keselamatan jalan sedia ada dan merancang pelan tindakan khusus bagi mengatasi sebarang kelemahan aspek keselamatan jalan.
  • Keempat, jurutera perlu merekabentuk solusi dengan sentuhan human centric dan people centric bagi memastikan rekabentuk sesuai dengan budaya setempat. Sebagai contoh, di sesetengah tempat, pejalan kaki hanya akan menggunakan jejantas sekiranya tidak terlalu jauh.

Sepanjang sesi perbincangan tersebut, Dr. Azwan Ezzany turut menjawab pelbagai soalan berkaitan isu-isu pembangunan jalan luar bandar dan aspek keselamatan jalan yang diajukan oleh para peserta persidangan sebagai rujukan komuniti jalan raya di Afrika.

Persidangan kali ini telah berjaya mengharumkan nama Jabatan Kerja Raya dan Malaysia di bumi Afrika di kalangan penggiat industri jalan raya terutamanya PIARC dan IRF dengan penglibatan signifikan pegawai Jabatan Kerja Raya dalam kedua-dua sesi tersebut. Syabas dan tahniah.

Laman Web : https://sbs.co.za/sarf2022/ (link is external)

Gambar-gambar Persidangan : https://sarf.org.za/sarf-international-conference/ (link is external)