Date: Isnin, Februari 12, 2018

Technical Executive Talk Bil. 1/2018 (TExT 1/2018) telah berlangsung pada 6 Februari 2018 bertempat di Dewan Anggerik, Kompleks Ibu Pejabat JKR Negeri Selangor. Program yang dianjurkan oleh Cawangan Perancangan Aset Bersepadu (CPAB), Jabatan Kerja Raya Malaysia dan Pertubuhan Profesional JKR Malaysia (ProJKRM) serta disokong oleh JKR Negeri Selangor telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan), YBrs. Ir. Kamaluddin bin Hj. Abdul Rashid.

Bertemakan ‘Knowledge: Key to Continuous Improvement’, TExT 1/2018 dianjurkan bertujuan untuk menyediakan platform perkongsian pengetahuan dan pengalaman berkenaan pelaksanaan inisiatif Pengurusan Pengetahuan di organisasi. Majlis ini telah dihadiri oleh peserta dari agensi sektor awam selain daripada warga JKR sendiri. Program TExT 1/2018 dimulakan dengan ucapan selamat datang oleh YBhg. Datuk Ir. Ruslan bin Abdul Aziz, Pengarah JKR Negeri Selangor ke Kompleks Ibu Pejabat JKR Negeri Selangor yang baru sahaja diduduki bermula 2 Januari 2018 dan diikuti dengan ucapan aluan oleh YBrs. Ir. Dr. Che Hassandi bin Abdullah, Pengarah Kanan CREaTe. Seterusnya ucapan perasmian telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan), YBrs. Ir. Kamaluddin bin Hj. Abdul Rashid mewakili Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan bin Md. Taha.

Majlis diteruskan dengan sesi penyampaian sijil pentauliahan Certified Knowledge Manager kepada 13 orang peserta daripada JKR, Institut Sukan Negara, INCEIF dan Sunway University yang telah berjaya menamatkan program pentauliahan dari Knowledge Management Institute, Amerika Syarikat. Seterusnya tetamu kehormat telah dibawa melawat ke meja pameran Certified Knowledge Manager yang baru ditauliahkan bagi mendengar penerangan lanjut mengenai projek inisiatif Pengurusan Pengetahuan yang sedang dilaksanakan di organisasi masing-masing.

Sebanyak dua kertas pembentangan telah dibentangkan oleh penceramah jemputan iaitu Mobile Learning Apps oleh Mr Maik Fuellmann, CEO, Quizz Bizz dan Managing Knowledge for Continuous Improvement oleh Dr. Sanath Sukumaran, Head, Knoco Malaysia. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam memberikan kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bahagi bagi menjayakan Technical Executive Talk Bil. 1/2018 kali ini.