Date: Khamis, Jun 8, 2023

MACHANG, KELANTAN - 3 Jun 2023 (Sabtu) Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia selaku agensi teknikal utama negara telah menyerahkan lima (5) buah projek siap klinik kesihatan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada hari ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Dato’ Sri Abdul Rahman Bin Haji Mohamad telah menyerahkan replika kunci kepada Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dr. Zaliha Binti Mustafa sebagai simbolik penyerahan kelima-lima projek tersebut.

Terima kasih diucapkan kepada KKM yang telah memberi sepenuh kepercayaan kepada JKR khususnya dalam melaksanakan projek-projek fasiliti kesihatan sejak dari dahulu lagi.

Ucapan Aluan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Abdul Rahman bin Haji Mohamad pada Majlis Penyerahan Projek di Klinik Kesihatan Mata Ayer, Machang

 

Ucapan oleh Yang Berhormat Dr. Zaliha binti Mustafa pada Majlis Penyerahan Projek di Klinik Kesihatan Mata Ayer, Machang

 

Penyerahan dokumen CPC daripada Ir Suhaili kepada Mohd Rashidi pada majlis penyerahan Projek Klinik Kesihatan Jenis 7 di Klinik Kesihatan Mata Ayer, Machang.

 

Yang Berhormat Dr. Zaliha binti Mustafa (dua dari kanan) menerima replika kunci klinik daripada Timbalan Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Abdul Rahman bin Haji Mohamad (dua dari kiri) pada Majlis Penyerahan Projek Klinik Kesihatan Mata Ayer, Machang

 

Peruntukan naiktaraf bagi klinik desa itu telah diluluskan di bawah Rolling Plan Pertama (RP1), Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dengan kos keseluruhan berjumlah RM32.05 juta. Pembinaan kesemua projek tersebut telah bermula pada tahun 2020 dan siap pada awal tahun ini. Klinik Kesihatan ini juga dijangka beroperasi secara rasmi bermula Julai 2023.

Lima (5) buah projek siap yang telah diserahkan adalah:

i. Klinik Kesihatan (Jenis 7 Teratai) Machang, Kelantan telah diperaku siap pada 13 April 2023.

ii. Klinik kesihatan (Jenis 7 Teratai) Mata Ayer, Machang, Kelantan telah diperaku siap pada 4 April 2023.

iii. Klinik kesihatan (Jenis 7 Teratai), Peria, Kuala Krai, Kelantan telah diperaku siap pada 1 April 2023.

iv. Klinik kesihatan (Jenis 7) Kuarters Karangan, Kuala Krai, Kelantan telah diperakui siap pada 6 April 2023.

v. Klinik kesihatan (Jenis 7 Teratai), Sokor, Tanah Merah, Kelantan diperaku siap pada 6 April 2023.

 

Klinik kesihatan ini adalah klinik desa berstatus daif yang dinaiktaraf kepada Klinik Kesihatan Jenis 7 dan bakal menawarkan perkhidmatan seperti Ibu dan Anak, Pesakit Luar, Rawatan Kecemasan dan Makmal Perubatan Asas & Farmasi yang dapat memberikan manfaat kepada masyarakat setempat.

Setiap klinik dilengkapi dengan empat (4) unit kuarters bagi kemudahan dan keselesaan kepada kakitangan agar mereka dapat memberi perkhidmatan sekali gus meningkatkan taraf penyampaian perkhidmatan dalam operasi klinik.

Projek yang dilaksanakan secara konvensional tender terbuka ini terdiri daripada bangunan klinik 5 aras yang mengandungi ruang berikut:

        i. Aras 1 iaitu ruang parking

  1. Aras 2 iaitu ruang klinik mengandungi

a) Bilik Pendidikan Kesihatan

b) Bilik Penyusuan

c) Bilik Pemeriksaaan

d) Bilik Kecemasan

e) Bilik Prosedur

iii. Aras 3 terdiri daripada 2 unit kuarters Kelas G

iv. Aras 4 terdiri daripada 2 unit kuarters Kelas G

v. Aras 5 tangki air selain terdapat juga blok sokongan iaitu Rumah Sampah, Rumah Pam dan TNB Compact-Sub.