Date: Rabu, March 15, 2023

Pengguna jalan raya khususnya pendudukan Taman Nusantara di Gelang Patah berpuas hati dengan siapnya projek naiktaraf jalan Gelang Patah - Ulu Choh sepanjang 2.15km dan telah dibuka untuk dilalui.

Jalan Gelang Patah ke Ulu Choh (J7) ini antara jalan penghubung bagi pengguna dari Pekan Nenas, Pontian untuk Bandaraya Johor Bahru dan Woodland, Singapura.

Siapnya projek ini ternyata memberi keselesaan dan kemudahan selain sebagai penyurai trafik, tambahan lagi kawasan Taman Nusantara kini semakin berkembang maju dengan pembangunan setempat.

Projek Menaiktaraf Jalan Utama Gelang Patah - Ulu Choh (J7) Sepanjang 2.15 KM Di Taman Nusantara, Gelang Patah, Johor merupakan salah satu projek Pembangunan Kerajaan Negeri Johor yang diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya Johor selaku agensi pelaksana dan pembinaan projek diselia oleh  pejabat JKR Daerah Johor Bahru melalui kaedah Konvensional Perunding.

Projek ini melibatkan peruntukkan yang ditetapkan meliputi skop kerja pelebaran jalan dua (2) lorong dua (2) hala kepada empat (4) lorong dua (2) hala, pemasangan lampu jalan, lampu isyarat dan membina serta menaiktaraf sistem perparitan di laluan berkenaan.

Perasmian dan Penyerahan Projek telah disempurnakan oleh YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor pada selasa 14 Mac 2023.

Hadir sama Timbalan Pengarah, Ir. Ts. Mohd Nasir bin Bontat selaku wakil rasmi Pengarah JKR Johor yang juga Pegawai Penguasa; Penolong Setiausaha Kanan, BPEN Johor Encik Mohammad Nafis bin Abd Razak, wakil rasmi YB Dato' Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan) sebagai agensi Pelanggan; Ahli Dewan Negeri Kawasan Kota Iskandar, YB Datuk Haji Pandak bin Ahmad dan Jurutera Daerah JKR Johor Bahru, Ir. Norzahamawatty binti Md Desa.

Setinggi tahniah dan penghargaan ditujukan kepada semua pihak khususnya JKR Johor selaku pejabat Pegawai Penguasa, JKR Daerah Johor Bahru selaku pejabat penyelia tapak, Kontraktor Rosha Dynamic Sdn Bhd, Perunding Kamarul Saiful, kontraktor NSC, semua Stakeholders seterusnya kepada pegawai-pegawai yang terlibat secara langsung atau tidak langsung sehinggalah projek ini dapat disiapkan

Bagi pihak JKR Negeri, kami sentiasa berusaha untuk memastikan semua projek di bawah seliaan, dapat disiapkan sebagaimana prosedur dan spesifikasi yang telah ditetapkan. Kami juga komited dalam memberikan kerjasama dengan semua pihak bagi memastikan infrastruktur negeri ini dapat digunakan dengan sebaik-baiknya.