Labuan – 17 Disember 2024, telah berlangsungnya Majlis Penyerahan Projek Siap Bagi Kerja-Kerja Baik Pulih Dan Penyelenggaraan Pagar Sempadan Serta Lain-Lain Kerja Berkaitan Di Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, W.P. Labuan.
Majlis Penyerahan Projek telah disempurnakan oleh YBrs. Ir. Hj. Mohd. Faizul Bin Mohd Ali Hanapiah, Pengarah JKR Wilayah Persekutuan Labuan kepada YBrs. Mejar Pertahanan Awam Siti Janariah binti Bacho, Pegawai Pertahanan Awam yang mana telah disaksikan oleh Ketua-Ketua Bahagian JKR W.P. Labuan dan Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Pengurus Syarikat Top Wan Enterprise.Projek ini bermula pada 12 Jun 2024 dan siap sepenuhnya pada 25 November 2024 dengan kos bernilai RM 480,000.00.
Skop projek adalah seperti berikut :-
- Pembinaan pintu gerbang;
- Menaiktaraf pagar sempadan; dan
- Pemasangan lampu kawasan serta lain-lain yang kerja berkaitan.
Projek ini dilaksanakan bagi memastikan tahap ketersediaan dan keselamatan masyarakat setempat sentiasa berada pada tahap yang optimum, sekaligus mengelakkan sebarang pencerobohan serta melindungi peralatan dan aset jabatan. Di samping itu, projek ini turut bertujuan untuk mempertingkatkan nilai estetika kawasan, menjadikannya sebagai mercu tanda yang melambangkan imej profesional Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Pengarah JKR W.P. Labuan memaklumkan antara cabaran terbesar bagi pelaksanaan projek di Pulau Mutiara ini adalah kebanyakan bekalan bahan mentah diperolehi dari Tanah Besar Sabah, Sarawak mahupun Semenanjung Malaysia yang berpotensi menyebabkan kelewatan penghantaran bahan binaan ke tapak projek. Walau bagaimanapun, melalui koordinasi dan pengurusan yang efektif antara Angkatan Pertahanan Awam Malaysia selaku pelanggan dan pihak kontraktor di tapak, segala cabaran dapat diatasi dengan baik bagi memastikan projek ini disiapkan mengikut tempoh yang telah ditetapkan.
Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah diucapkan kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan komitmen yang tinggi dalam menjayakan projek ini.
- 524 bacaan