Labuan – 30 Disember 2024, telah berlangsungnya Majlis Penyerahan Projek Siap Bagi Kerja-Kerja Penyelenggaraan dan Pembaikan Kuarters Jabatan Kastam Diraja Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan.
Majlis penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBrs. Ir. Hj. Mohd. Faizul Bin Mohd Ali Hanapiah, Pengarah JKR WP Labuan kepada Pengarah Kastam WP Labuan, YBrs. Puan Aspalila binti Haji Awang Tuah yang mana telah disaksikan oleh Ketua-Ketua Bahagian JKR WP Labuan dan Kastam WP Labuan serta Pengurus-Pengurus Syarikat yang dilantik.Projek ini bermula pada awal Julai 2024 dan siap sepenuhnya pada penghujung November 2024 dengan nilai kos kerja sejumlah RM3.19 juta.
Skop projek adalah kerja-kerja pembaikan struktur bangunan, membaik pulih kemasan luaran dan dalaman bangunan, pembaikan sistem perpaipan air dalaman, sistem sanitari, pembaikan lampu jalan dan pembaikan jalan.
Projek ini memberi tumpuan kepada peningkatan kemudahan fizikal dan kebajikan kakitangan Kastam di Labuan dengan menyediakan perumahan yang lebih selesa dan selamat. Dalam pelaksanaan projek ini, tujuh kontraktor telah dilantik untuk menyiapkan kerja-kerja di pelbagai lokasi.
Oleh yang demikian, pengurusan pelbagai kontrak telah diselaras dengan teliti, dan dirancang rapi bagi memastikan projek ini berjaya disiapkan dalam tempoh masa, kos dan kualiti yang ditetapkan. Kejayaan projek ini adalah hasil daripada pengurusan, koordinasi dan komunikasi yang baik serta sinergi antara Jabatan Kastam Wilayah Persekutuan Labuan (pelanggan) dan pihak JKR WP Labuan serta kontraktor yang dilantik.
Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah diucapkan kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan komitmen yang tinggi dalam menjayakan projek ini.
#IamJKR #KitaJKR #JKRsynergy
#JasaKepadaRakyat
- 671 bacaan