Date: Rabu, March 14, 2018

Pada 13 Mac 2018, Wakil Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Board) Rumah Pangsa Taman Salak Selatan selaku pelanggan telah hadir ke Ibu Pejabat JKR Malaysia bagi menyerahkan sijil penghargaan di atas kejayaan Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, Ibu Pejabat JKR menyiapkan projek dalam tempoh dan kualiti yang telah ditetapkan.

Sesi penyerahan sijil penghargaan telah diserahkan oleh YBrs. En. Alan Lim Peng Lim, Pengerusi JMB Rumah Pangsa Taman Salak Selatan kepada YBrs. Ir. Gopal Narian Kutty, Pengarah Kanan, Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, Ibu Pejabat JKR Malaysia.

Majlis tersebut turut disaksikan oleh YBrs. Ir. Razdwan Bin Kasim, Pengarah Khidmat Pakar, Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, YBrs. Ir. Mamat Rohizan Bin Abdullah, Pengarah Rekabentuk, Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, YBhg. Dato’ Banie Chin Yen Foo, Penasihat Persatuan Kebajikan Dan Muhibah Taman Salak Selatan, YBrs. En. Chong Fook Keong, Setiausaha JMB dan YBrs. En. Soong San Lau, Bendahari JMB.

Skop projek melibatkan kerja-kerja penggantian satu unit lif dan lain-lain kerja berkaitan di Blok 5, Rumah Pangsa Taman Salak Selatan, Kuala Lumpur.

Projek ini telah berjaya disiapkan pada 27 Disember 2017, iaitu seperti dijadualkan dengan penjimatan kos projek sebanyak RM 14,800.00.

Dalam ucapan aluan, Pengarah Kanan CKM telah mengucapkan syabas dan tahniah kepada pasukan projek CKM IPJKR, kontraktor dan JMB kerana telah melaksanakan projek dengan jayanya.

Beliau menambah, komitmen dan kerjasama yang ditunjukkan oleh semua pihak yang terlibat membuktikan bahawa segala permasalahan boleh diatasi sekiranya kita memahami peranan dan bersatu dalam mencapai objektif. JKR sentiasa bersedia memberi perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat.